fbpx

Dewan Negara: RUU kesalahan seksual kanak-kanak diluluskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 yang bertujuan memberikan perlindungan lebih menyeluruh kepada kanak-kanak.

RUU itu antara lain menggantikan terminologi ‘pornografi kanak-kanak’ kepada ‘bahan penganiayaan kanak-kanak’ dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Speaker Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad selepas proses pengundian RUU, hari ini.

Ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina berkata, RUU itu dilakukan dengan mengambil kira kes jenayah, seiring kemajuan teknologi yang memerlukan pindaan kepada interpretasi jenayah tersebut.

“Mungkin ada yang anggap hukuman (dalam pindaan) ini tidak banyak tetapi apabila pendakwa raya menuduh mana-mana pihak, ia akan berantai.

“Bukannya satu seksyen tidak boleh pergi ke seksyen lain. Jika campur boleh jadi 100 tahun hukuman penjara.

“Jadi, jangan khuatir kata hukumannya rendah,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU tersebut di Dewan Negara, di sini hari ini.

Selain itu, Azalina menjelaskan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersama syarikat telekomunikasi juga perlu memainkan peranan dalam membanteras jenayah seksual kanak-kanak.

“Kalau di negara barat, mereka ada tanggungjawab untuk pantau atau buang kandungan pornografi. Tetapi kalau syarikat hendak buat duit daripada kandungan itu, sudah tentu mereka tidak akan turunkan kandungan.

“Jadi, kita berharap selepas ini, KKD dapat memainkan peranan dengan akta yang ada supaya dapat pantau kandungan-kandungan berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, tambah Azalina, Fasal 15 yang memasukkan seksyen 26A dan 26B ke dalam Akta 792 adalah bagi memberi mahkamah kuasa membuat perintah berhubung pampasan kepada mangsa (kanak-kanak). – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI