KUALA LUMPUR – Cadangan memendekkan tempoh mengerjakan ibadah haji bagi jemaah Muassasah dikhuatiri tidak dapat mengurangkan kos, malah meningkatkannya lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd, Na’im Mokhtar berkata, ia kerana pendekatan tersebut akan menyebabkan jemaah haji berangkat ke Arab Saudi pada waktu kemuncak di mana harga tiket dan hotel adalah lebih mahal.
“Bagi pakej jemaah haji Muassasah yang dikendalikan Tabung Haji (TH), tempoh mereka di sana adalah antara 40 hingga 45 hari.
“Tempoh ini turut melibatkan tiket penerbangan, penginapan, sajian makanan, pengangkutan bas dan pelbagai perkhidmatan semasa jemaah berada di Arab Saudi.
“Secara amnya, dengan memendekkan tempoh itu, bermakna jemaah akan mula menginap di Mekah dan Madinah semasa waktu kemuncak yang mana harga tiket dan sewa bangunan adalah amat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya mengenai cadangan untuk mengkaji semula tempoh ibadah haji bagi mengurangkan kos.
Tambah Mohd. Na’im, TH telah berusaha untuk mengawal peningkatan kos dengan memeterai beberapa perjanjian kontrak jangka panjang.
“Dengan cara ini, harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.