fbpx

Batal semua konsert angkara kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sarimah mengambil bacaan tekanan darah Ibnor Riza yang disahkan menghidap penyakit kanser limfoma tahap empat ketika ditemui di Taman Intan Duyung, Port Dickson kelmarin.

PORT DICKSON – Penyanyi 80-an, Ibnor Riza Ibrahim mendedahkan beliau terpaksa menolak banyak pertunjukan hingga menjejaskan pendapatannya selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat.

Ibnor, 62, berkata, dia disahkan menghidap penyakit itu ketika membuat pemeriksaan ke atas kelenjar kecil pada lehernya lima bulan lalu.

Katanya, doktor kemudian memberikan antibiotik untuk menyurutkan bengkak kerana pembedahan terlalu berisiko ekoran benjolan itu membengkak pada leher dan menghimpit saraf jantung serta otak.

“Ia menyebabkan vokal saya hilang dan seperti tiada kuasa untuk menolak suara untuk dilontarkan ketika menyanyi.

“Kali pertama vokal hilang saya ingatkan biasa kerana terlalu banyak menyanyi, suara menjadi panas. Selalunya akan jadi dua hari tetapi masa itu tekak tiada rasa sakit tetapi suara terus hilang,” katanya ketika ditemui di Taman Intan Duyung di sini kelmarin.

Ibnor Riza ketika pada zaman kegemilangannya.

Menurut penyanyi Mimpi Yang Tak Sudah itu, dia perlu melakukan lapan sesi kemoterapi di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban yang akan berakhir Jun ini.

Tambahnya, dia telah dua kali membuat rawatan itu yang menyebabkan badannya lemah, kulit kering dan rambut mulai gugur hingga menyebabkan dia membuat keputusan mencukur kepalanya.

“Saya perlu kuat untuk lawan dan syukur saya makin baik daripada sebelum ini. Dahulu saya mudah pengsan jika tertekan,” katanya yang berasal dari Batu Kikir, Jempol.

Ibnor Riza bagaimanapun berkata, dia reda dengan ujian tersebut dan perlu kuat demi isterinya, Sarimah Sulaiman, 51, serta empat orang anak.

“Saya bersyukur walaupun hilang pendapatan dan terpaksa menolak 15 pertunjukan terma­suk di Singapura pada bulan lalu.

“Hati saya berat untuk terima deposit bagi undangan konsert yang diterima sebelum ini seolah-olah satu petanda, sekarang saya hanya guna wang simpanan yang ada untuk perbelanjaan kesihatan dan keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata, Konsert Satu Malam Bersama Ibnor Riza sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 3 Mac lalu di Esplanade Singapura dan tiket telah habis dijual sejak Januari lalu.

“Bagaimanapun disebabkan faktor kesihatan, saya tidak dapat menjayakan konsert itu dan memberitahu penganjur agar tempat saya digantikan dengan Datuk Malek Ridzuan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 114478024858 (Ibnor Riza).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI