fbpx

Hamba nafsu gemar bazir makanan iftar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PADA bulan mulia ini, penulis melihat tumpuan paparan di media sosial terutamanya TikTok tertumpu kepada rungutan harga makanan dijual di bazar Ramadan cekik darah dan tidak setimpal.

Ada yang mengadu harga air soya RM6 sebungkus. Kata mereka harga itu lebih mahal daripada air soya kotak di kedai dan pasar raya. Sebilangan netizen pula memuat naik kandungan ‘terkena’ kerana membeli karipap inti ‘oksigen’ atau murtabak inti busuk yang dipanaskan kembali.

Itu belum masuk ayam atau daging tidak cukup masak. Kalau melayari aplikasi popular seantero, TikTok pastinya anda akan disajikan dengan kandungan sedemikian.

FYP di TikTok juga menampilkan rintihan peniaga yang terpaksa menaikkan harga makanan antara RM1 hingga RM3 kerana kenaikan kos bahan mentah.

Jika dilihat kembali, perkara serupa berulang selang tiga atau empat tahun. Harga makanan seperti kuih muih di kedai, restoran, hotel dan bazar tidak turun, malah ia meningkat dari semasa ke semasa sedangkan pendapatan atau kenaikan gaji masih di bawah kadar inflasi.

Inilah isu yang hangat diperkatakan. Namun, ada isu lain di sebalik kenaikan harga makanan dan minuman pada bulan Ramadan dan ia berkaitan dengan pembaziran.

Dari sudut agama membazir itu bukan sahaja berdosa, malah orang yang suka membazir bukan lagi kawan tetapi saudara syaitan.

Perkara ini tidak banyak ditekankan semasa bulan suci ini. Pada beberapa hari pertama bulan Ramadan penulis melihat pengunjung bazar membawa pulang bukan dua atau tiga plastik berisi makanan, tetapi jauh lebih banyak ibarat tidak cukup tangan.

Dan pastinya, ada makanan yang gagal dihabiskan semasa berbuka mahupun kuih-muih, martabak atau lauk-pauk. Sesetengah makanan itu hampir basi dan tidak dimakan semasa sahur lantas dibuang.

Sesetengahnya dimasukkan dan disimpan di dalam peti sejuk. Ia kekal bertimbun di dalam peti sejuk dan kewujudannya hanya disedari menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri, lantaran juga dibuang dan tentunya satu pembaziran.

Menurut satu kajian dan keputusannya pelik pada hemat penulis. Kajian itu menyatakan bahawa rakyat Malaysia melakukan pembaziran makanan tambahan sebanyak 75,000 tan semasa bulan Ramadan.

Bayangkan jumlah wang yang dapat dijimatkan dan digunakan untuk membantu fakir miskin dan anak yatim dengan kos makanan sebanyak itu. Pembaziran makanan semasa Ramadan turut terjadi di banyak negara Islam lain seperti Arab Saudi. Di Arab Saudi, kerajaannya menyatakan bahawa kos pembaziran makanan mencecah 40 bilion riyal setahun.

Perkara ini perlu diberikan penekanan setiap kali menjelang Ramadan. Rakyat Malaysia perlu dididik supaya sekadar mengalas perut semasa berbuka dan bukan memuaskan nafsu makan selepas berjam-jam berlapar di siang hari. Mereka juga perlu menghabiskan makanan yang ada walaupun bukan kegemaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI