WASHINGTON – Seorang mogul teknologi di Amerika Syarikat (AS) yang berbelanja berjuta-juta dolar setiap tahun untuk mengekalkan bentuk tubuh seperti remaja 18 tahun, mendedahkan satu lagi rutin kesihatannya, lapor akhbar New York Post semalam.
Bryan Johnson, 45, menggunakan sebuah peranti yang memberikan kesan setara dengan 20,000 sit-up hanya dalam masa 30 minit.
Peranti itu adalah sebahagian daripada ‘protokol antipenuaan’ yang mendapat perhatian secara meluas di media sosial sejak beberapa bulan lalu.
Menerusi video yang dimuat naik dalam akaun Instagramnya, Johnson memasang peranti itu pada perutnya dan menetapkan fungsi pada tetapan tertinggi.
“Apa yang dirasakan ialah ia menarik seluruh perut anda untuk keluar, ia seperti merobeknya,” kata Johnson.
Johnson kemudian mengalihkan peranti itu untuk mendedahkan perutnya dan bercerita mengenai kemajuan dalam teknologi senaman ekstrem berkenaan.
“Saya fikir saya akan berasa sangat sakit selepas melakukan ini, tetapi sebenarnya tidak,” tambahnya.
Johnson membelanjakan AS$2 juta (RM8.8 juta) setahun dan mengumpul sepasukan 30 doktor dan pakar perubatan untuk membalikkan proses penuaan tubuhnya. – Agensi