POPULARITI lagu Tiara, nyanyian asal kumpulan Kris yang mencipta trending dalam media sosial khususnya TikTok membuka ruang lebih besar untuk karya tersebut terus mendapat tempat di hati pendengar.
Selepas dirakam semula oleh penyanyi Indonesia, Raffa Affar dan P. Radhi dalam versi P. Ramlee pada 2022, kini Tiara muncul dengan kelainan yang jauh lebih menarik.
Penggubah lagu Tiara versi P. Ramlee iaitu Wan Dillhanaridz, memberi idea kepada syarikat Luncai Emas Sdn. Bhd. untuk menerbitkan karya berkenaan dalam versi Hindi.
Wan sangat yakin lagu asal yang popular sekitar 1990-an tersebut sesuai diadaptasi dalam irama Hindi kerana memiliki melodi yang sangat indah.
“Saya menggubah Tiara mengikut muzik era 1990-an lagu-lagu hit Hindi.
“Susunan muzik ini mengambil masa empat hari untuk mendapatkan intro dan interlude bagi menyerap ‘mood’ Hindi.
“Selepas mendapat maklum balas daripada peminat tegar lagu Hindi, mereka kata muzik Tiara versi ini seperti bunyi yang dirakam di India,” ujarnya teruja.
Lagu Tiara versi Hindi diberi judul Sahara dan menariknya dinyanyikan secara duet oleh dua bakat baharu iaitu Nadia Fharshah dan Amirul Fadzuan, masing-masing sangat aktif menyanyi lagu Bollywood dalam TikTok.
Menurut Nadia, dia tercabar ketika menyanyikan lagu Sahara kerana perlu menyampaikan emosi yang bersesuaian dengan lagu memandangkan keperibadian dirinya seorang yang ceria dan suka ketawa.
“Apabila bawa lagu ini, sedikit mencabar untuk saya. Tetapi apa-apa pun, saya sangat mengharapkan semua yang mendengar dapat rasa apa yang cuba disampaikan oleh kami,” ujarnya.
Sementara bagi Amirul pula, Sahara diolah dengan pembaharuan apabila disuntik aliran melodi yang tenang, namun ada kesedihan yang berubah mengikut irama dihasilkan.
“Entah bagaimana, lagu Sahara serasi dengan jiwa dan saya berasa begitu terhubung apabila menyanyikan lagu ini.
“Terima kasih Luncai Emas kerana memberi peluang yang indah ini kepada saya dan Nadia,” katanya.
Ketika diusulkan cadangan daripada Wan untuk menghasilkan lagu tersebut dalam versi Hindi, Luncai Emas berbesar hati apatah lagi selepas mendengar hasilnya yang kedengaran sama seperti sebuah karya asli Bollywood.
“Kami amat mengalu-alukan cadangan tersebut kerana sememangnya Tiara merupakan sebuah lagu viral pada 2022 yang dirakam semula dalam pelbagai versi.
“Jadi, mengapa tidak dibuat dalam versi Hindi pula?” ujar Luncai Emas dalam satu kenyataan.
Lagu Sahara boleh didengari menerusi semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBOX dan iTunes Store.
Sementara video muzik pula akan dilancarkan dalam YouTube Luncai Emas tidak lama lagi.