KOTA KINABALU – Dua wanita melalui detik cemas apabila terperangkap dalam salah satu blok bangunan beli-belah terbakar dalam kejadian di Blok A, bangunan Karamunsing petang semalam.
Dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 5.43 petang sebelum seramai 34 anggota bomba dari BBP Kota Kinabalu dan Lintas diarahkan ke lokasi kebakaran.
“Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan dua wanita yang terperangkap di tingkat lima bangunan.
“Kedua-dua wanita difahamkan bekerja di bangunan berkenaan kemudiannya berjaya dibawa turun. Mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ordine berkata, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai membabitkan longgokan kertas di kawasan tangga di tingkat satu dan dua namun sistem keselamatan kebakaran di bangunan berkenaan berfungsi dengan baik.
Menurutnya, punca kejadian kebakaran masih dalam siasatan, operasi pemadaman kebakaran selesai kira-kira pukul 7.30 malam. – K! ONLINE