fbpx

Israel serbu lagi Masjid Al-Aqsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Askar Israel mengusir jemaah keluar dari pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis kelmarin. - Foto AFP

BAITULMUQADDIS – Tentera Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur kelmarin, serbuan pada malam kedua berturut-turut dalam tempoh kurang 24 jam, lapor portal berita Middle East Eye.

Berpuluh-puluh anggota pasukan keselamatan Israel yang lengkap bersenjata bertindak menyerbu pekarangan masjid tersebut ketika hampir 20,000 jemaah Palestin mengerjakan solat Tarawih.

Mereka melepaskan peluru getah, gas pemedih mata dan bom bunyi ke arah jemaah sejurus sebelum selesai solat untuk mengusir mereka, kata seorang saksi kejadian, Firas al-Dibbs kepada Middle East Eye.

Askar-askar juga mengejar orang ramai, memukul jemaah dengan belantan dan mencederakan mereka.

“Israel mahu mencipta realiti baharu. Mereka (Israel) mahu mengosongkan Masjid Al-Aqsa. Apa yang berlaku, terutamanya semalam (kelmarin) adalah satu malapetaka. Skala keganasan sangat mengejutkan,” kata al-Dibbs.

Seorang sukarelawan Al-Aqsa yang enggan mendedahkan namanya memberitahu Middle East Eye bahawa masjid itu hampir dikosongkan sepenuhnya daripada penduduk Palestin dalam masa sejam.

Serbuan kelmarin dilakukan lebih awal berbanding pada Selasa lalu dan ia dipercayai usaha tentera Israel untuk menghalang jemaah daripada mengunci diri di dalam dewan solat Qibli.

Ratusan penduduk Palestin berada di dewan Qibli kelmarin yang merupakan bangunan dengan kubah perak di pekarangan Al-Aqsa untuk menunaikan iktikaf dan mengelak cubaan polis Israel mengusir mereka.

Iktikaf adalah amalan agama yang tidak wajib yang biasa dilakukan pada bulan Ramadan apabila jemaah bermalam di masjid untuk bersolat, bertafakur dan membaca al-Quran.

Tentera Israel kemudiannya menyerbu masjid Qibli dan melepaskan bom tangan dan gas pemedih mata ke dalam bangunan berusia seribu tahun itu sebelum mereka menolak penduduk Palestin ke lantai, memijak dan mengikat tangan mereka ke belakang. Sekurang-kurangnya 400 orang telah ditangkap.

Terdahulu, polis Israel mengehadkan bilangan penduduk Palestin yang dibenarkan memasuki Masjid Al-Aqsa.

Polis Israel menyatakan bahawa jumlah mereka yang dibenakan menghadiri solat Tarawih dikurangkan daripada 80,000 orang pada Selasa lepas kepada hanya 20,000 jemaah, demikian menurut media Palestin. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI