fbpx

‘Hantu batu’ diburu polis di Lebu, habis cermin pecah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Longgokan batu yang dipercayai sengaja di buang 'hantu batu' di jalan raya sekitar Lebu.

BENTONG – Penduduk di sekitar daerah ini khususnya di Lebu digemparkan dengan ‘hantu batu’ yang menyaksikan kenderaan yang lalu jalan raya di kawasan gelap dan berhutan dilempar dengan batu sehingga menyebabkan cermin kereta pecah.

Difahamkan kejadian yang berlarutan hampir seminggu itu masih terus berlaku dan penduduk yang melakukan intipan sehingga kini masih belum nampak suspek yang terlibat.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas berbuka puasa sehingga imsak menyebabkan timbul persoalan mengenai motif kejadian sama ada rompakan, khianat dan sebagainya.

Malah selain kereta yang dilempar dengan batu kejadian terbaharu malam tadi membabitkan penunggang motosikal yang mengalami kerosakan rim selepas terlanggar batu-batu besar yang dilonggokkan di tengah jalan pula.

Antara kerosakan pada rim motosikal antara batu yang dipercayai dibuang individu tidak bertangungjawab.

Seorang mangsa Siti Cahaya Jaafar,35, berkata, dia dan anaknya masih trauma selepas kejadian kereta yang dipandunya dibedil dengan batu bertalu-talu sehingga menyebabkan cermin depan pecah.

Katanya kejadian berlaku pada Ahad lalu ketika dia bersama dua anak dan suaminya dalam perjalanan pulang ke Mempaga di sini selepas berbuka puasa di rumah ibunya di Kampung RPS Lebu di sini.

Katanya, ketika itu anaknya yang berumur enam tahun berada di tempat duduk penumpang dan suami bersama bayi berusia tujuh bulan berada di tempat duduk belakang.

“Apabila sampai di lokasi kejadian yang gelap saya menaikkan lampu tinggi dan nampak banyak ketulan batu putih di tengah jalan sebelum tiba-tiba saya dengar bunyi bagaikan letupan bertalu-talu apabila ketulan batu bagai dibedil ke kereta di kiri dan kanan.

“Pada masa itu saya begitu takut dan anak saya yang berada di hadapan menangis ketakutan menyebabkan saya terus memecut kereta dan saya hanya nampak seperti kelibat di dalam hutan sebelum ia hilang.

Keedaan cermin kereta mangsa.

“Apabila sampai ke rumah saya yang terketar-terketar mendapati terdapat retakan dan lubang di cermin hadapan kereta jenis Perodua Viva saya,”katanya.

Menurutnya, akibat kejadian dia bukan sahaja mengalami kerugian malah anaknya yang berumur enam tahun masih trauma dan tidak mahu keluar dari rumah serta tidak mahu ke sekolah kerana masih takut.

Katanya, dia yang ketakutan dan menggigil sebaik keluar daripada kereta pada hari kejadian telah terjatuh sehingga tergeliat pada kaki yang masih tidak sembuh sehingga kini.

“Saya masih trauma dan takut dengan kejadian itu dan saya rasa dengan bunyi seakan letupan yang kuat batu itu mungkin dilastik dan penduduk yang pergi ke lokasi berkenaan terjumpa batu putih di kawasan ladang sawit.

“Kejadian hantu batu ini menyebabkan penduduk berasa takut untuk keluar malam dan kami bimbang ramai mangsa lagi khususnya orang luar memandangkan jalan ini merupakan laluan utama termasuk ke Kelantan,”katanya.

Antara ketulan batu yang dibuang indvidu tidak bertanggungjawab di sekitar Lebu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata polis menerima laporan mengenai kejadian dan siasatan masih giat dilakukan bagi mengesan suspek terlibat.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI