LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bertegas beliau sedia untuk meninggalkan pasukan sekiranya The Reds berterusan berdepan musim yang sukar seperti dihadapi pada kempen kali ini.
Pada aksi semalam, Liverpool sekadar seri tanpa jaringan dengan Chelsea, sekali gus memberi tamparan hebat untuk The Reds yang cuba menamatkan musim dalam kelompok empat terbaik selepas tidak lagi berada dalam saingan kejuaraan bagi semua pertandingan musim ini.
Ditanya adakah beliau pernah berdepan situasi sukar seperti itu, Klopp mengakui perkara itu adalah pengalaman pertama, namun paling penting adalah seluruh pasukan perlu hadapinya dan cuba pamer kebangkitan dalam baki saingan musim ini.
“Bersyukur saya tidak pernah alami seperti ini dan saya tidak akan dilantik sebagai pengurus Liverpool jika saya berdepan keadaan seperti ini. Sekarang kami perlu melalui semua ini kerana inilah kehidupan, kamu perlu berjuang untuk mengubah nasib.
“Tahun lalu kedua-dua pasukan bermain pada perlawanan akhir dan sekarang terikat 0-0. Kedua-dua pasukan berada di tahap keyakinan rendah, namun kekal cuba bermain.
“Saya tidak jangkakan pasukan yang buat enam perubahan akan bermain permainan terbaik, namun mereka sudah menggunakan peluang dan menunjukkan mereka bersedia. Kami dapat lihat langkah positif dan sekarang kami hanya perlukan rehat,” katanya.
Pada aksi semalam, Klopp merehatkan tonggak utamanya seperti Mohamed Salah, Andy Robertson, Trent Alexander-Arnold dan Cody Gakpo, malah Virgil van Dijk berdepan isu kecederaan.
Ketika ini, The Reds yang mengutip 43 mata, dibezakan 29 mata berbanding pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dan tujuh mata berbanding Tottenham Hotspur di tempat keempat. – AGENSI