GEORGE TOWN – Seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas dipercayai bertindak terjun dari Kilometer 17.1 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua, menghala ke Batu Kawan awal pagi tadi.
Mangsa berusia 33 tahun dan berasal dari Bayan Lepas di sini sebelum itu dikatakan bertindak meninggalkan dokumen diri bersama sebuah motosikal jenis Honda Wave di atas jambatan berkenaan.
Jurucakap Bomba Negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 2.49 pagi dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru berada di lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Pihak pengurusan Jambatan Kedua Pulau Pinang memaklumkan terdapat seorang lelaki Melayu telah terjun ke laut dari atas jambatan.
“Tindakan anggota adalah dengan melakukan kerja- kerja mencari dan menyelamat di permukaan air serta dibantu pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan agensi berkaitan,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, sehingga petang ini, mangsa belum ditemui dan operasi pencarian masih diteruskan.
Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. – KOSMO! ONLINE