fbpx

Tukar taktik guna lori tangki berdaftar seludup minyak diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORENA (kanan) ketika memeriksa lori tangki digunakan suspek di sebuah premis di kawasan perindustrian Krubong, Melaka, hari ini.

MELAKA – Kegiatan penyeludupan minyak diesel bersubsidi di negeri ini semakin rancak dengan terbaharu sindiket dikesan menukar taktik menggunakan lori tangki minyak berdaftar untuk menyeludup 60,400 liter minyak dalam satu serbuan di Krubong, awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 pagi itu, dua suspek berusia 41 dan 46 tahun turut dicekup ketika sedang tidur di dalam sebuah premis di kawasan perindustrian yang dijadikan stor penyimpanan minyak.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, hasil intipan Op Tiris oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) selama sebulan berjaya mengesan pergerakan sindiket yang menjadi pembekal minyak diesel bagi pasaran gelap perkilangan.

“Sindiket ini turut menggunakan modus operandi lama iaitu lori-lori kecil akan membeli minyak daripada stesen minyak sekitar negeri ini dan menghantar bekalan ke premis ini.

“Dua suspek itu kemudian akan memindahkan minyak dari lori kecil ke dalam sebuah lori tangki yang berdaftar sebelum menjualnya di kawasan kilang pada harga jauh lebih murah berbanding pasaran,” katanya.

Tambahnya, sejumlah 60,400 liter minyak, lori tangki dan alatan pam bernilai sekitar RM300,000 dirampas dalam serbuan tersebut.

Pada bulan lalu, sebanyak 26,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM83,000 yang diseleweng sekumpulan lelaki berjaya dirampas semula penguat kuasa dalam satu serbuan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai dekat sini.

Mengulas lanjut Norena berkata, ia merupakan kes pertama penyeludupan minyak diesel yang dikesan menggunakan lori tangki berdaftar.

“Lori tangki ini berdaftar, jadi agak sukar sebenarnya bagi pihak berkuasa untuk mengesan penyelewengan dibuat kerana mereka mempunyai dokumen dan kebiasaannya kalau kenderaan berdaftar ini memang kita tidak akan buat pemeriksaan terperinci di mana bekalan minyak diambil, sindiket ini mengaut keuntungan berlipat kali ganda,” jelasnya.

Katanya, kedua-dua suspek termasuk kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI