PUTRAJAYA – Satu sindiket pengurup mata wang asing haram didalangi warga asing berjaya ditumpaskan susulan serbuan ke atas 10 premis di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada Ahad serta Isnin lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 29 orang warga asing turut ditahan dalam operasi itu membabitkan warga Bangladesh, India dan Indonesia.
“Mereka ditahan termasuk 11 lelaki Bangladesh, lima lelaki warga India, lapan lelaki Indonesia serta dua perempuan warga Indonesia berumur antara 26 hingga 40 tahun.
“Serbuan dilakukan hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) itu mengesan aktiviti pengurup wang tanpa lesen yang dikendalikan oleh warga asing,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, mereka yang ditahan dipercayai berperanan sebagai orang tengah dan menguruskan kiriman wang ke luar negara.
Ruslin berkata, pihaknya turut menahan dalang utama sindiket masing-masing seorang lelaki warga India, Bangladesh dan Indonesia berusia 30 hingga 45 tahun.
“Siasatan awal mendapati, sindiket beroperasi disebalik perniagaan restoran, kedai runcit, kedai kosmetik dan kiosk menjual peralatan elektronik bagi menutup jejak sebenar aktiviti pengurup wang tanpa lesen.
“Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM300,527 yang disyaki hasil aktiviti pengurup wang, telefon bimbit, buku dan dokumen rekod kiriman wang ke luar negara seperti Bangladesh dan Indonesia.
“Berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas sindiket ini dianggarkan mampu menguruskan kiriman wang keluar negara mencecah RM108 juta setahun,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE