fbpx

Polis minta bantuan Interpol kesan pelancong China dakwa diugut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular membabitkan pelancong warga China yang mendakwa dirinya diperas ugut anggota penguat kuasa baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis akan mendapatkan bantuan daripada Polis Antarabangsa (Interpol) dan kedutaan China bagi mengesan pelancong wanita yang didakwa diperas ugut anggota penguat kuasa bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, setakat ini pihaknya sudah mendapatkan keterangan anggota yang terlibat namun belum dapat merakam kenyataan daripada wanita tersebut.

“Kita sudah kenal pasti wanita itu namun hasil semakan status keberadaan wanita tersebut di negara ini masih belum dapat maklum balas daripada pihak Imigresen.

“Dalam pada itu, nama yang digunakannya (pelancong China) di aplikasi TikTok juga bukan nama sebenar, jadi kita minta bantuan daripada kedutaan China dan Interpol untuk mendapatkan maklumat itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Sementara itu, Yahaya juga meminta pemandu e-hailing yang membawa pelancong tersebut sewaktu kejadian berlaku untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Kami sudah melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan sudah kenal pasti kenderaan yang digunakan oleh pemandu e-hailing yang membawa pelancong itu.

“Oleh itu, pemandu e-hailing serta seorang lagi penumpang (rakan pelancong) yang berada di dalam kenderaan tersebut diminta hadir ke balai polis untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Kelmarin, media melaporkan polis membuka kertas siasatan berkaitan video tular berdurasi satu minit 48 saat yang memaparkan seorang individu mendakwa telah diperas ugut oleh anggota polis kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

Video itu memaparkan seorang anggota polis memakai uniform sedang menjalankan pemeriksaan ke atas seorang individu dengan berlatar belakang papan tanda Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato’ Onn.

Yahaya dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI