KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berjaya mendapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp di antara dua ahli perniagaan berhubung isu wang RM2 juta yang ditimbulkan dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut, di Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Azura Alwi ketika memutuskan demikian mengarahkan pihak pendakwaaan menyerahkan laporan forensik itu kepada pihak pembelaan dalam tempoh dua minggu dan menetapkan kes disebut pada 10 Mei ini.
Laporan forensik itu mengandungi perbualan WhatsApp di antara Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja yang didedahkan melalui keterangan pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof.
Ketika membacakan keputusan itu, Azura berpuas hati wujud dua versi keterangan berbeza di Mahkamah Shah Alam dan di ibu negara berkenaan tujuan penyerahan wang RM2 juta dan kepada siapa ia diserahkan melibatkan baucar pembayaran dan cek.
Menurut Azura, nota prosiding dan pernyataan bertulis saksi-saksi dalam kes di Shah Alam yang dikemukakan sebagai eksibit dalam kes di sini menunjukkan wang RM2 juta dikeluarkan melalui baucar pembayaran dan cek Public Bank dan dikatakan diserahkan kepada Gnanaraja.
Ujar hakim itu, dalam kes di ibu negara, keterangan juga menunjukkan baucar pembayaran dan cek yang sama dikemukakan dan telah ditandakan sebagai eksibit P140 dan P141 namun wang RM2 juta itu dikatakan diserahkan kepada Guan Eng.
Azura menjelaskan, keterangan juga menunjukkan terdapat perbincangan berkenaan wang tersebut melalui perbualan WhatsApp antara Zarul Ahmad dan Ganarajah manakala laporan analisis digital forensik kemudian disediakan oleh pihak SPRM.
Ujarnya, dalam kes Guan Eng di ibu negara, laporan analisis digital forensik telah dikemukakan namun laporan itu tidak dikemukakan di Shah Alam.
“Terdapat dua versi keterangan berbeza di dua mahkamah mengenai tujuan penyerahan dan kepada siapa diserahkan wang RM2 juta yang melibatkan baucar pembayaran dan cek.
“Mahkamah berpuas hati fakta yang menyeluruh haruslah dibentangkan dan dikemukakan agar kebenaran dapat diketahui,” ujarnya.
Ujar Azura lagi, pemohon perlu mendapat laporan analisis digital forensik dan laporan pengadu dalam kes di Shah Alam bagi menyediakan pembelaan yang adil.
Beliau selanjutnya menyatakan, mahkamah akur dan mengambil maklum tentang hak asasi pemohon sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Hakim itu bersetuju bahawa prinsip kesamarataan dalam perbicaraan yang adil dapat dicapai dengan membenarkan permohonan yang dikemukakan mengikut Seksyen 51 Kanun Prosedur Jenayah.
Dalam keputusannya, Azura membenarkan permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu selepas meneliti notis permohonan, afidavit dan hujahan bertulis dan hujahan lisan serta otoriti-otoriti yang telah dikemukakan.
Azura berpuas hati, pemohon perlu melepasi tahap ujian yang menjadi asas kepada prinsip undang-undang mantap yang telah diputuskan oleh Mahkamah Agung pada 1985. – KOSMO! ONLINE