NEW YORK – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin mengaku tidak bersalah ke atas 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan berkaitan pembayaran wang sogokan menjelang penghujung kempen pilihan raya Presiden 2016, lapor portal berita NBC
ni adalah kali pertama seorang bekas Presiden AS didakwa atas kes jenayah. Pertuduhan ke atas Trump didedahkan dalam prosiding di hadapan Hakim Juan Merchan di Mahkamah Jenayah Manhattan.
Trump diwakili oleh peguamnya di dalam kamar mahkamah ketika pendakwa mendakwa bahawa beliau membuat pembayaran tersembunyi untuk menjejaskan pilihan raya Presiden 2016.
Beliau yang menjadi Presiden AS ke-45 dari 2017 hingga 2021, berdepan hukuman penjara maksimum empat tahun jika didapati bersalah.
Disoal tentang pengakuannya terhadap dakwaan oleh pendakwa raya, Trump menjawab: “Tidak bersalah.”
Pendakwa raya Chris Conroy memberitahu mahkamah bahawa Trump terlibat dalam konspirasi haram untuk membantu kempennya dan melemahkan institusi pilihan raya.
Katanya, Trump berulang kali menipu dengan memalsukan rekod perniagaannya di New York bagi menyembunyikan kelakuan jenayah sekali gus menyembunyikan maklumat jenayah daripada orang ramai yang mengundi semasa pilihan raya Presiden 2016.
Menurut Conroy, tiga orang yang menerima bayaran wang sogokan daripada Trump ialah bintang filem dewasa, Stormy Daniels, model Playboy, Karen McDougal dan seorang bekas penjaga pintu Menara Trump.
Daniels dibayar AS$130,000 (RM571,285) oleh bekas peguam Trump, Michael Cohen, manakala McDougal dan penjaga pintu itu masing-masing dibayar AS$150,000 (RM659,175) dan AS$30,000 (RM131,835) oleh AMI iaitu penerbit akhbar tabloid, National Enquirer.
Akhbar itu kemudian membuat kesimpulan bahawa cerita penjaga pintu itu adalah tidak benar dan ia mahu membebaskan penjaga pintu tersebut daripada perjanjian pembayaran wang sogokan tersebut.
Namun, ia menangguhkan berbuat demikian sehingga selepas pilihan raya atas permintaan peguam Trump, Cohen, kata pihak pendakwa raya. – Agensi