KUALA LUMPUR – Pelancong wanita warga China yang tular mendakwa dirinya diugut dengan anggota penguat kuasa baru-baru ini diminta tampil untuk membantu siasatan, tegas Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC).
Penasihatnya, Datuk Seri Michael Chong berkata, apa yang ditularkan oleh pihak wanita tersebut adalah tidak adil kerana tidak mengemukakan bukti yang kukuh.
“Ramai yang tanya saya apa yang berlaku dan juga perkara ini sudah tular di China dan sekarang di Malaysia, kenapa wanita tersebut tidak laporkan kepada polis sahaja?.
“Apa yang dikemukakan oleh wanita tersebut dalam video yang tular itu secara tidak langsung telah menjatuhkan sektor pelancongan di negara kita, sebab itu pentingnya perkara ini diselesaikan dengan segera” katanya ketika berucap dalam sidang akhbar di Wisma MCA, di sini.
Menurut Michael, keberadaan wanita tersebut masih menjadi tanda tanya sama ada di dalam negara ini mahupun tidak ,namun dia dimohon untuk berhubung secara terus dengan pihaknya agar dapat memulihkan keadaan.
“Kami sedia membantu (pelancong wanita) apa sahaja yang diperlukan bagi menyelesaikan perkara ini dengan telus, termasuk juga dengan pemandu e-hailing yang didakwa meminjamkan RM100 kepada pelancong tersebut.
“Kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hanya ingin membantu sahaja siapa yang memerlukan bantuan dan berbesar hati membantu negara sekiranya perlu,” ujarnya.
Pengerusi Biro Pengaduan Dan Perkhidmatan Awam MCA itu juga memaklumkan, jika pelancong dan individu yang terlibat dengan kejadian inginkan bantuan boleh berhubung di talian 03-79827885 atau email di [email protected].
Kelmarin, media melaporkan polis membuka kertas siasatan berkaitan video tular berdurasi satu minit 48 saat yang memaparkan seorang individu mendakwa telah diperas ugut oleh anggota polis kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.
Video itu memaparkan seorang anggota polis memakai uniform sedang menjalankan pemeriksaan ke atas seorang individu dengan berlatar belakang papan tanda Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato’ Onn.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE.