fbpx

Bilik di kedai makan jadi markas simpan pil kuda, syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Haki (tengah) menunjukkan pil kuda yang dirampas semasa serbuan di sebuah kedai makan di Jalan Tanah Merah, Tanah Merah, Kelantan semalam. Foto oleh ROHANA ISMAIL/ KOSMO!

TANAH MERAH – Seorang tukang masak warganegara Thailand dicekup selepas dipercayai mengedar dadah jenis pil kuda dan syabu bernilai RM1,120 kepada rakan-rakannya di dalam bilik di sebuah kedai makan di Jalan Tanah Merah di sini semalam.

Suspek yang berusia 28 tahun ditahan kira-kira pukul 11.17 malam dalam serbuan yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, semasa serbuan dijalankan, suspek cuba melarikan diri, namun tindakannya itu gagal sebelum dia dilihat turut melontar sesuatu ke atas tanah.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap barangan yang dibuang lelaki itu mendapati ia merupakan satu kotak rokok yang mengandungi 52 biji pil kuda.

“Polis terus memeriksa di dalam bilik suspek sebelum menemui tiga peket plastik yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 5.1 gram, satu bungkusan air ketum dan 500 mililiter ubat batuk.

“Siasatan awal mendapati, dadah, air ketum dan ubat batuk itu untuk kegunaannya sendiri selain ia turut dijual kepada rakan-rakan yang bekerja di kedai makan lain di sekitar daerah ini,” katanya pada sidang akhbar di IPD Tanah Merah di sini hari ini.

Mohd. Haki memberitahu, ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) akta sama serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI