KUALA LUMPUR – Status kedudukan stok beras negara adalah stabil dan mencukupi pada masa ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, melalui pelaksanaan usaha dan inisiatif yang dilakukan, diharap pengeluaran padi dapat ditingkatkan seterusnya menjamin bekalan makanan berterusan.
“Ini terbukti, pada tahun 2020 semasa berdepan penularan wabak Covid-19 serta sekatan eksport oleh negara pengeksport, bekalan negara tetap berterusan dan tidak pernah terputus disebabkan oleh pendekatan dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Datuk Noraini Idris berhubung tahap kemampanan bekalan beras tempatan menjelang tahun 2025 bagi menampung keperluan di seluruh negara, mengambil kira kebarangkalian berlakunya kegawatan ekonomi global.
Dalam pada itu, Foong Hin berkata, keperluan beras dalam negara pada masa ini dipenuhi melalui 70 peratus pengeluaran tempatan manakala selebihnya iaitu sebanyak 30 peratus lagi ditampung melalui kemasukan beras import.
Katanya, dalam mendepani cabaran masa akan datang termasuk kegawatan ekonomi global serta sekatan eksport beras oleh negara-negara luar, antara usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan adalah memperluas pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).
Selain itu, Foong Hin menjelaskan penggantian varieti biji benih padi tiga atau empat tahun sekali supaya ciri kerintangan kepada penyakit dan perosak sentiasa optimum selain penguatkuasaan prosedur tetap operasi khusus kepada pengendali jentera dan penyedia perkhidmatan bagi meningkatkan kualiti penyediaan tanah serta meningkatkan kesuburan tanah melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan.
“Usaha lain yang dilakukan ialah meningkatkan kecekapan pengurusan input bagi memastikan peningkatan produktiviti tanaman padi dengan mengalakkan penggunaan benih sah dan juga kecekapan penyaluran bantuan subsidi kerajaan, pemodenan mekanisasi dan automasi serta adaptasi teknologi baharu tanaman padi melalui penggunaan jentera yang moden serta pemantapan sistem pengembangan pertanian dan pengairan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE