KUALA LUMPUR – “Mereka nampak bahagia”.
Demikian ulas pelakon Johan As’ari yang mengakui terkejut dengan kemelut rumah tangga pasangan pelakon Farid Kamil dan Diana Danielle ketika ini.
Menurut Johan, 37, dia langsung tidak dapat menghidu masalah rumah tangga Farid dan Diana sepanjang membawa mereka sekeluarga menunaikan umrah di Mekah pada Februari lalu.
“Memang saya tidak tahu dan agak terkejut dengan berita ini (masalah rumah tangga). Saya nampak Diana memeluk Farid dan mereka kelihatan seperti keluarga yang bahagia sepanjang kami di Mekah,” ujarnya.
Tambah Johan, sepanjang menemani pasangan itu di Mekah, dia melihat Farid adalah seorang suami yang baik dan bapa yang baik.
Bahkan meskipun mereka adalah rakan baik, Farid langsung tidak bercerita mengenai masalah rumah tangganya dan sangat menjaga nama baik keluarga.
“Saya tidak pernah dengar sedikit pun Farid merendahkan isterinya. Dia puji Diana depan saya dan mengatakan dia seorang isteri yang baik.
“Farid juga memberi ruang untuk Diana melakukan ibadah dengan tenang. Bila lihat dan dan dengar apa yang dikatakan, dalam hati saya terdetik, Farid seorang suami dan bapa yang baik, tetapi tegas dengan anak-anak,” kata Johan.
Akui pelakon Juvana ini lagi, dia banyak menemani Farid sepanjang mengerjakan ibadah umrah. Malah, dia menjadi saksi keikhlasan Farid dalam mengerjakan ibadah.
“Saya memang menemani Farid buat rukun umrah iaitu tawaf dan saie. Farid nampak sangat ikhlas ketika buat ibadah dan amat menyentuh hati saya. Dia banyak menangis ketika tawaf dan setiap kali buat umrah.
“Ketika masuk Raudhah, Farid tidak putus melakukan solat dan menangis setiap kali sujud. Sayalah yang menjadi saksi semua itu,” tutur Johan
Meskipun sedih dengan kemelut rumah tangga Farid dan Diana, sebagai rakan Johan mendoakan yang terbaik buat mereka berdua.
“Saya sedih dengan apa yang berlaku dan mendoakan mereka tidak berpisah dan dapat berbaik semula.
“Bagi saya mereka berdua orang yang baik, sangat baik. Mungkin ini ujian mereka, jadi saya mendoakan yang baik-baik sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran filem Tujuh Dua Belas.
Terdahulu, Johan menarik perhatian netizen apabila berkongsi beberapa gambar dan video ketika menunaikan umrah bersama pasangan itu selepas Diana memfailkan penceraian pada 19 Mac lalu.