KUALA NERUS – Seorang peniaga Bazar Ramadan Gong Badak di sini mencipta kelainan apabila menawarkan martabak berintikan sotong dan kerang tahun ini.
Asnita Mat Zain, 32, yang berniaga di bazar Ramadan sejak lebih tujuh tahun lalu berkata, penghasilan martabak makanan laut tersebut atas permintaan pelanggannya.
“Sebelum ini, saya hanya menjual martabak daging dan ayam namun bagi meraikan pelanggan setia, martabak kerang dan sotong dihasilkan.
“Alhamdulillah sejak 1 Ramadan lalu, sambutannya amat menggalakkan dengan kira-kira 60 keping martabak makanan laut terjual setiap hari,” katanya.
Secara purata, Asnita mampu menjual kira-kira 350 keping martabak termasuk inti daging dan ayam setiap hari sejak awal Ramadan lalu.
Katanya, martabak sotong dan kerang dijual pada harga RM6 sekeping manakala RM5 bagi ayam dan daging.
“Martabak makanan laut bagaikan daya penarik pelanggan ke gerai kami.
“Penyediaan bahan-bahan semua sama iaitu rempah kari, bawang dan kobis dan sotong serta kerang menjadikan rasanya unik apabila dicicah dengan kuah kari atau cuka bawang,” katanya.