LEBIH 1,000 orang terdiri daripada pakar-pakar sains dan teknologi serta mogul terkenal seperti Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Elon Musk dan pengasas bersama Apple, Steve Wozniak pada 29 Mac lalu telah meminta jeda dalam pembangunan sistem kecerdasan buatan (AI) selama enam bulan.
Surat terbuka itu ditandatangani susulan kemajuan dalam pembangunan teknologi AI termasuk aplikasi ChatGPT yang diperkenalkan oleh OpenAI pada November 2022 kerana dibimbangi memberi risiko serta ancaman kepada keselamatan.
Dalam pada itu, sebilangan pakar luar negara memberi amaran bahawa lebih separuh daripada pelajar institusi pengajian tinggi termasuk di kolej mula menggunakan aplikasi ChatGPT untuk menipu dalam peperiksaan.
Lebih membimbangkan apabila kemas kini model GPT-4 didapati mampu menjawab 90 peratus daripada sejumlah besar peperiksaan guaman di Amerika Syarikat (AS). ChatGPT juga berkebolehan dalam menulis esei setaraf manusia untuk pelbagai subjek dalam masa beberapa saat.
Felo Utama Digital Learning Centre dari Universiti Tenaga Nasional Kampus Putrajaya, Professor Abd. Karim Alias berkata, wujud sisi positif dan negatif bagi setiap teknologi baharu AI seperti ChatGPT, tetapi bergantung kepada cara manusia menggunakannya.
“Aplikasi tersebut boleh menjejaskan daya berfikir pelajar sekiranya ia digunakan sepenuhnya atau mereka terlalu bergantung kepadanya untuk menyelesaikan kebanyakan tugasan. Sekiranya tidak dibendung, pelajar akan hilang kemahiran berfikir secara kritis.
“Pihak universiti perlu mengambil langkah seperti menyediakan garis panduan yang jelas mengenai penggunaan aplikasi AI, menetapkan batasan serta mendedahkan kelebihan dan kekurangannya. Ini kerana teknologi AI boleh menambah nilai dalam pengajaran dan pembelajaran apabila berfungsi sebagai extended brain.
Jelas Abd Karim, ChatGPT berpeluang membantu pelajar sekiranya etika dan peraturan yang digariskan diikuti oleh mereka dengan efektif.
“Zaman kini kita perlu mengubah minda pelajar supaya mereka bukan sahaja boleh menjawab soalan peperiksaan, malah mempersoalkan jawapan yang diberikan oleh ChatGPT. Ia dapat mengembangkan pemikiran kritis pelajar.
“ChatGPT mampu memberi sokongan pelajaran secara peribadi apabila pelajar dapat mengawal dan bebas menentukan kaedah belajar mereka sendiri. Hal ini kerana ChatGPT berkemampuan membantu pelajar menganalisis jawapan, mencipta soalan dan melatih diri.
“ChatGPT berkeupayaan untuk membantu pelajar membina projek sendiri dengan menyediakan idea, soalan dan menyusun maklumat. ChatGPT juga pengajar bahasa yang baik apabila membantu pelajar menyusun ayat dan mengetahui kosa kata yang lebih banyak.
Tambahan pula, penyalahgunaan aplikasi-aplikasi AI seperti ChatGPT boleh dielakkan, namun memerlukan usaha bersama pendidik, universiti, sekolah dan kerajaan dengan menjalankan proses memberi kesedaran dan pendidikan.
“Polisi dan garis panduan jelas perlu diwujudkan dalam konteks akademik termasuk menetapkan batasan dengan jelas. Timbul cabaran besar kepada pendidik untuk menilai tugasan pelajar, jadi mereka perlu memilih kaedah alternatif yang lebih baik dan lebih canggih.
“Kita juga perlu berusaha menggalakkan integriti akademik supaya pelajar dan pendidik menghargai usaha dan kepentingan dalam membangunkan kemahiran serta pengetahuan yang autentik. Jadikan teknologi sebagai rakan yang boleh menambah nilai,” katanya.