fbpx

Ibu terduduk lihat jasad anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT Mohamad Donny (gambar kecil) ditutup dengan plastik hitam selepas terlibat dalam kemalangan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah menghala ke Batu Kawan kelmarin. GAMBAR atas kiri: Ibu mangsa terduduk selepas melihat mayat anak tunggalnya di lokasi kejadian.

GEORGE TOWN – Luluh hati seorang ibu apabila anak tunggalnya yang berusia 18 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 8.9, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah menghala ke Batu Kawan di sini malam kelmarin.

Wanita itu yang tiba di lokasi selepas dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut tidak dapat menahan sebak.

Dia kemudian dilihat terduduk di tepi tembok jambatan melihat tubuh anaknya, Mohamad Donny Aliff Rasdi yang kaku dan ditutup dengan plastik hitam.

Mohamad Donny disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu.

Rakan baiknya yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, mereka berdua dalam perjalanan ke Uptown Perda di Bukit Mertajam untuk mencari pakaian raya sempena Hari raya Aidilfitri nanti.

“Bila Mohamad Donny ­hu­bu­ngi­ saya menerusi Whats­App dan mengajak ke sana selepas waktu berbuka puasa semalam (kelmarin), saya langsung tidak menolak.

“Kami menunggang motosikal secara berasingan, dua rakan kami sudah sampai di Uptown mana­kala saya dan Mohamad Donny bertolak pada pukul 10 malam.

“Sepatutnya kami menggunakan jambatan pertama, tetapi terlepas simpang kiri ke Bayan Lepas berdekatan Marin, jadi kami terpaksa menggunakan Jambatan Kedua,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Cerita pemuda itu, pada mulanya motosikal mangsa berada di sebelahnya sebelum mereka bergerak berasingan.

“Apabila saya terlepas ke hujung (susur keluar), ada pengguna jambatan datang bertanya sama ada saya mengenali penunggang motosikal Yamaha Y15 dan memaklumkan dia terlibat kemalangan,” katanya.

Pemuda itu memberitahu, dia sedih mengenangkan kejadian berlaku kerana mereka merupakan sahabat baik sejak dibangku sekolah rendah.

“Saya sedih melihat dia terlantar atas jalan. Sebelum itu, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah suka membuat orang di sekelilingnya ketawa.

“Kami berhasrat untuk mencari kerja di tempat sama nanti,” ujarnya.

Difahamkan, Mohamad Donny merupakan anak yatim setelah kematian bapanya pada bulan Ramadan beberapa tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern mengesahkan kejadian tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI