PETALING JAYA – Gegaran gempa bumi kuat dengan magnitud 6.2 skala Ritcher yang berlaku di barat daya Sumatra Utara, Indonesia kira-kira pukul 10.59 malam tadi didakwa turut dirasai di Malaysia.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati ramai ketika ini terkejut menerima notifikasi amaran gempa bumi dipercayai berlaku pada jarak kira-kira 418 kilometer dari Malaysia.
Berdasarkan notifikasi Google tersebut, amaran gempa bumi itu dikeluarkan melibatkan negara terdekat antaranya Malaysia, Thailand dan Singapura.
“Terkejut dapat mesej gempa bumi, rupanya baru sahaja berlaku gempa bumi di Indonesia. Moga semuanya selamat,” kata Ahmad Saiful.
“Google baru hantar amaran gempa bumi yang baru sahaja berlaku di Indonesia. Kali pertama dapat amaran macam ini,” ujar Lokman.
“Ada gempa bumi ke? Bergoyang rasa sekejap tadi,” soal Sumantri.
Bagaimanapun, tiada amaran tsunami kepada Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) setakat ini.
Terdahulu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia melaporkan pusat gempa tersebut terletak kira-kira 82 kilometer Barat Daya Padang, Sidempuan-Sumu,t Indonesia. – KOSMO! ONLINE.