PETALING JAYA – Pakar kesihatan, Dr. Rafidah Abdullah memohon maaf berikutan tegurannya disalah anggap berhubung isu makanan banyak minyak berkait masakan pempengaruh dan pembikin kandungan video makanan, Khairul Aming.
“Saya mohon maaf kerana nampak ramai salah anggap yang saya menuduh Khairul Aming merosakkan kesihatan rakyat Malaysia.
“Dua ayat terakhir saya sepatutnya di para yang lain. Bagaimanapun, harapan saya video atau ‘content’ mana-mana ‘influencer’ ada tertera kandungan kalori,” katanya menerusi ciapan tersebut.
Dalam pada itu, beliau menafi menuduh mana-mana pihak selain mengingatkan bahawa kesihatan adalah tanggungjawab sendiri.
“Tapi saya perlu memberi pendapat profesional saya tentang apa yang saya lihat. Alhamdulillah sekarang ramai sudah sedar sambal banyak kalori. Nak makan, makan secubit dua sudah memadai,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan menerusi ciapan di Twitter. Dr. Rafidah menegur supaya Khairul Aming menyediakan resipi sihat kepada orang ramai.
Berikutan itu, Khairul Aming tanpa melenting menerima teguran tersebut serta memuat naik video penerangan di media sosialnya berhubung isu penggunaan minyak yang banyak dalam masakannya.
Dia menjelaskan penggunaan bahan seperti minyak dan gula yang banyak dalam masakannya adalah mahu memenuhi cara sebenar penyediaan hidangan tersebut kepada orang ramai.
Daripada perspektif pembikin video pula, Khairul Aming dilaporkan berkata, dia tidak mengurangkan minyak atau menggantikan bahan lain kerana ia menjadikan hidangan itu tidak sedap sama seperti asli. – KOSMO! ONLINE