Tindakan memboikot barangan keluaran sesebuah syarikat atau negara sering dilakukan masyarakat dunia sejak dahulu lagi apabila mereka tidak berpuas hati dengan kenyataan atau pendirian sesuatu pihak terhadap isu seperti politik, perkauman, agama mahupun alam sekitar.
Usaha tersebut dikatakan sedikit sebanyak mampu memberikan kesan langsung terhadap prestasi kewangan sesebuah organisasi yang menghasilkan produk berkenaan atau tekanan ekonomi kepada negara tertentu.
Kempen memboikot barangan yang terbaharu berlaku ke atas Perancis apabila Presidennya, Emmanuel Macron mengeluarkan kenyataan yang dianggap angkuh dengan menyatakan negara itu akan mempertahankan penerbitan karikatur menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Presiden itu mengeluarkan kenyataan itu kerana kononnya demi mempertahankan hak kebebasan bersuara dan beragama.
Kenyataannya itu susulan daripada tragedi pembunuhan seorang guru mata pelajaran sejarah, Samuel Paty yang dipenggal kepalanya selepas bertindak biadap menayangkan karikatur mempersendakan Nabi Muhammad SAW dua minggu lalu.
“Kami tidak akan sekali-kali menyerah. Kami menghormati segala perbezaan dalam semangat keamanan dan tidak berkompromi dengan sebarang bentuk ucapan kebencian serta mempertahankan perdebatan yang munasabah.
“Kami akan sentiasa memihak kepada nilai kemanusiaan dan universal. Kami sentiasa sukakan perdebatan, sains dan pertikaiannya. Kami tidak akan melarang karikatur dan lukisan walaupun banyak pihak telah berundur,” kata Macron.
Kata-kata itu telah mengundang kemarahan masyarakat Islam khususnya di Asia Barat yang bertindak memboikot barangan Perancis dengan mengeluarkan keseluruhan produk negara benua Eropah itu termasuk makanan dan kosmetik daripada rak-rak jualan di pasar raya.
Di Qatar, sejumlah kedai termasuk rantaian pasar raya besar yang mempunyai lebih 50 cawangan di negara-negara Arab telah mengosongkan rak-rak menempatkan barangan Perancis. Perkara tersebut turut berlaku di beberapa negara Arab lain termasuk Kuwait, Jordan, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu.
Jika sebelum ini kempen boikot banyak digerakkan oleh aktivis dan organisasi bukan kerajaan, namun kali ini ia agak berbeza apabila Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyuarakan sokongannya terhadap usaha berkenaan.
Erdogan dengan lantang menggesa masyarakat dunia supaya memboikot barangan Perancis dan mendesak pemimpin Kesatuan Eropah menasihati Macron agar menghentikan perbuatannya yang mempromosikan sifat kebencian.
Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, kenyataan Macron yang mendorong kepada tindakan boikot itu dikatakan merupakan usaha untuk menutup kelemahannya menangani penularan wabak Covid-19 di Perancis.
“Macron sebelum ini dikenali sebagai seorang yang terbuka dalam konteks hubungan antara agama, tapi sekarang kita dapat lihat dia lebih cenderung untuk menyalahkan Islam.
“Saya rasa Macron cuba mengalih perhatian orang ramai yang sebelum ini mengkritik berkenaan isu Covid-19 dengan mula memainkan isu-isu perkauman dan agama untuk meraih semula sokongan rakyat,” katanya.