LONDON – Dua jurulatih skuad utama, Adam Sadler dan Mike Stowell bakal menggalas tanggungjawab besar untuk mengembalikan semua kualiti Leicester City pada aksi menentang Aston Villa di Stadium King Power, awal pagi esok.
Sebelum ini, Brendan Rodgers berjaya mencapai kata sepakat dengan pengurusan The Foxes untuk melepaskan jawatan sebagai pengurus ekoran prestasi buruk yang dijelmakan musim ini.
Pengerusi kelab, Aiyawatt Srivaddhanaprabha nyata berterima kasih kepada Rodgers kerana sudah pun menghadirkan keputusan baik kepada pasukan.
“Pencapaian sudah pun menjadi bukti kami pernah berada di tahap terbaik ketika di bawah kendalian Rodgers. Bagaimanapun keputusan sekarang berada di bawah jangkaan kami.
“Kami yakin kesinambungan dan kestabilan akan menjadi kunci untuk membetulkan perjalanan pasukan. Malangnya peningkatan yang diharapkan tidak berlaku dan lembaga pengarah perlu mengambil tindakan alternatif untuk mengekalkan pasukan pada pertandingan ini.
“Tugas kami adalah untuk menghadapi baki saingan musim ini. Sekarang semua orang perlu bersatu untuk memastikan kelab ini kekal pada Liga Perdana Inggeris (EPL),” katanya.
Leicester City kini berada di kelompok bawahan dan berdepan penyingkiran EPL selepas hanya mampu meraih tujuh kemenangan dan empat seri dalam 28 perlawanan.
Untuk rekod, Rodgers pernah memimpin Leicester City menjulang Piala FA pada 2020/21 dan layak ke separuh akhir Liga Konferensi Eropah musim lalu. – AGENSI