fbpx

Belum gaji, Jalan TAR suram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENIAGA di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur mengeluh apabila orang ramai hanya bertanya harga, namun tidak membeli barangan mereka. – SADDAM YUSOFF

KUALA LUMPUR – Peniaga bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Masjid India, di sini resah selepas jualan pelbagai kelengkapan hari raya mereka hambar berikutan orang ramai lebih gemar meninjau harga daripada membeli.

Walaupun Ramadan sudah memasuki hari ke-12 semalam, rata-rata peniaga mendakwa suasananya tidak semeriah seperti tahun lalu.

Tinjauan Kosmo! di dua lokasi tumpuan orang ramai itu semalam mendapati, gerai-gerai jualan tidak serancak tahun lalu selepas Perintah Kawalan Perge­rakan (PKP) dimansuhkan.

Seorang peniaga tudung dikenali Umi, 55, berkata, pelanggan lebih berminat bertanya dan me­ninjau harga, namun terus berlalu pergi tanpa membeli barangan.

“Mungkin orang ramai masih berkira-kira kerana faktor ekonomi yang tidak menentu ketika ini menjadikan pembeli takut untuk berbelanja terlalu awal sebelum tiba hari gaji.

“Jualan tahun lalu lebih meriah jika hendak dibandingkan tahun ini. Kalau dahulu, awal-awal lagi orang ramai dah seronok membeli, tapi sekarang mereka cuma mahu tengok-tengok,” katanya ketika ditemui semalam.

SUASANA bazar Aidilfitri di Jalan TAR semalam yang kurang meriah berbanding tahun lalu.

Ujar Umi, sepatutnya hari Sabtu dan Ahad baru-baru ini orang ramai akan berpusu-pusu membeli-belah di situ.

“Pada sebelah petang baru ada yang membeli kelengkapan Aidilfitri,” ujarnya.

Berkongsi keluhan sama ialah seorang penjual kuih raya dikenali Syed Syafiq, 24, apabila dia terpaksa menurunkan harga kuih rayanya bagi menarik pelanggan datang membeli.

“Jualan untuk kuih raya juga masih lagi perlahan apabila sudah hampir dua minggu kita berpuasa. Jadi bagi mengelakkan tiada jualan langsung, kadangkala kalau pelanggan minta murah, kami beri sahaja, tapi masih perlahan,” luahnya.

Dia turut mengakui para peniaga menaikkan sedikit harga jualan berbanding tahun lalu berikutan perlu membayar sewa tapak dan menanggung kos jualan yang semakin meningkat.

Dalam pada itu, seorang pembeli dikenali sebagai Atiqah, 23, berkata, dia gemar membeli-­belah di Jalan TAR dan Masjid India kerana ada banyak pilihan selain mudah untuk tawar-menawar meskipun harga kelengkapan semakin meningkat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI