fbpx

KPDNHEP wujudkan pelan kontigensi hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Iskandar Halim

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyediakan Pelan Kontigensi Kawal Seliaan Bekalan Barang Kawalan dan Keperluan Asas Dalam Menghadapi Fenomena Bencana Alam sebagai langkah proaktif untuk menghadapi banjir tahun ini.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata pelan kontigensi itu bertujuan memastikan bekalan keperluan asas tidak terputus dan mencukupi ketika musim tengkujuh yang dijangka berlaku bulan November dan Disember ini.

“Keadaan ini dikhuatiri berpotensi mengganggu sistem pengangkutan dan secara tidak langsung menjejaskan pengedaran bekalan makanan dan barangan keperluan di negeri-negeri yang terlibat.

“KPDNHEP yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan barangan keperluan asas mencukupi dan stabil, sentiasa melaksanakan pemantauan secara berterusan sejak Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 Mac hingga sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iskandar Halim berkata, tindakan yang dicadangkan dilaksanakan melalui pelan kontigensi itu akan bermula seawal bulan November yang bakal dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa.

“Antara persiapan dan tindakan yang akan dilaksanakan melalui pelan kontigensi ini ialah mengaktifkan Pusat Arahan Penguatkuasaan di negeri yang terlibat.

“Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP juga akan mempergiatkan pemeriksaan dan pemantauan ke atas semua rantaian pengedaran barangan makanan samada di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit,” katanya.

Iskandar Halim berkata, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP akan membenarkan penambahan had simpanan barang kawalan dan barangan keperluan asas sehingga 30 peratus kepada pemborong dan peruncit terpilih.

Katanya, sesi libat urus industri pengeluar dan pengimport barangan kawalan dan keperluan asas bersama agensi kerajaan lain yang terlibat dalam pengurusan bencana alam juga akan diadakan.

“KPDNHEP juga akan membantu kumpulan sasar dengan pengagihan lebihan makanan melalui program Foodbank,” katanya.

Sementara itu, Iskandar Halim berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan seperti menyeleweng, menyorok, enggan menjual, mengenakan syarat jualan atau apa-apa kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan perundangan subsidiarinya.

Menurutnya, ini termasuk kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 seperti melakukan pencatutan atau menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan sepanjang bencana alam.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala badan korporat pula boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM2 juta.

Bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 pula, individu atau bukan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun manakala pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM500,000, katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI