ALOR SETAR – Penularan wabak Covid-19 di negara ini membawa kesan kepada kutipan hasil kerajaan negeri apabila berkurangan hampir RM100 juta berbanding unjuran ditetapkan dalam Bajet Kedah 2020.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau yakin cabaran sama turut dihadapi oleh negeri-negeri lain.
Malah, menurutnya, beliau juga menjangkakan ancaman Covid-19 akan terus memberi kesan kepada ekonomi pada tahun hadapan.
“Perkara itu akan diperincikan dalam pembentangan Bajet Kedah 2021 pada 15 November depan dengan tumpuan akan diberi kepada usaha mengaktifkan sektor ekonomi serta memaksimumkan kutipan hasil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Bajet Kedah 2020 yang dibentangkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pada Oktober tahun lalu menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM701.94 juta.
Muhammad Sanusi menambah, Bajet Kedah 2021 akan mengambil tema bersandarkan slogan kerajaan negeri iaitu ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’.
“Kita mahu memaksimumkan kutipan hasil bagi menyebar luaskan lagi kerja-kerja kebajikan di negeri ini.
“Namun, kita yakin limpahan hasil daripada projek besar seperti pembinaan lima loji rawatan air yang bermula pada Disember serta Januari tahun depan akan membawa kitaran ekonomi positif dalam pelbagai sektor termasuk pekerjaan,” katanya.
Selain itu, menurutnya, beliau turut menetapkan petunjuk pestasi Utama untuk menyelesaikan hutang kritikal menjelang Disember tahun ini,” katanya. – K! ONLINE