fbpx

Wanita jadi superwomen ketika Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Jam menunjukkan kira-kira pukul 10.40 malam, ramai jemaah sudah mula berkemas untuk pulang selepas menunaikan solat tarawih 20 rakaat berjemaah di sebuah masjid terkenal di Kuala Lumpur.

Namun, di sebalik sudut lain kelihatan begitu sibuk wanita dalam lingkungan umur 40 tahun ke atas bersiap untuk duduk dalam beberapa kumpulan kecil bagi meneruskan sesi bertadarus al-Quran.

Terdetik di dalam hati penulis, pukul berapa pula mereka akan balik ke rumah masing-masing dan balik berehat, tidur seterusnya bangun semula pukul 4 pagi untuk beribadat selain menyiapkan sahur untuk dinikmati bersama-sama ahli keluarga.

Jika ada yang masih bekerja, mereka pastinya tidak dapat berehat lagi setelah tidur hanya kira-kira empat jam kerana banyak lagi aktiviti harian yang perlu diselesaikan sehinggalah mereka tiba di pejabat, sekolah atau premis perniagaan masing-masing.

Kuat sungguh semangat mental dan fizikal wanita apabila tibanya bulan Ramadan, mereka seolah-olah diberi kuasa ajaib sebagai ‘superwoman’ untuk melaksanakan rutin harian seawal pukul 4 pagi atau 4.30 pagi selama 30 hari.

Tidak hairanlah jika ada sekumpulan wanita mengambil ruang dan peluang melenakan diri di sudut-sudut sesuai di surau pejabat pada waktu rehat bagi mencergaskan semula badan kerana mereka akan kembali sibuk tatkala jam berdetik pukul 4 petang untuk balik ke rumah masing-masing.

Sepanjang perjalanan pulang itu, tiada apa yang difikirkan hanyalah mencari idea untuk menu masakan berbuka puasa atau juadah yang perlu dibeli di bazar Ramadan dan juga barangan basah lain yang perlu dibeli untuk keperluan sahur.

Wanita tidak kiralah versi ibu muda, yang sudah berusia dan juga ibu tunggal, dilihat sebagai orang penting yang akan membuat keputusan merancang perbelanjaan keperluan pada bulan puasa, persiapan hari raya, pilihan warna sedondon satu keluarga, membuat bajet untuk balik kampung, peruntukan membeli biskut raya dan juga duit raya.

Mereka juga akan bertambah sibuk membuat persiapan balik ke kampung dengan mengemas beg bagi memastikan semua barangan penting ada dibawa bersama, malah turut sibuk memastikan rumah berada dalam keadaan selamat sebelum melangkah keluar.

Lebih berat lagi tanggungjawab mereka bila tibanya malam raya dengan membantu keluarga sendiri atau ibu mentua di dapur menyediakan juadah istimewa sehinggalah ke pagi hari raya.

Mereka sanggup mengetepikan fesyen moden untuk dipakai di pagi hari raya kerana mahukan semua ahli keluarga dapat berkumpul, menikmati hidangan istimewa hasil air tangan mereka.

Hargai pengorbanan, komitmen dan kesungguhan ‘superwoman’ ini kerana semangat mental dan fizikal mereka terus bertahan sepanjang bulan Ramadan untuk membahagiakan seisi keluarga menjelang Syawal nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI