PUTRAJAYA- Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya perbuatan keji pembakaran al-Quran di Denmark yang tercetus pada 24 Mac dan awal bulan ini.
Menurut kenyataan Wisma Putra, tindakan terkutuk itu bukan kali pertama berlaku dalam tahun ini sebaliknya berulang kali.
“Keengganan kerajaan Denmark untuk menghentikan perbuatan yang melampau itu tidak boleh diterima sama sekali, malah umat Islam seluruh dunia turut menolak berkali-kali.
“Perbuatan berbaur Islamofobik dibuat pada bulan suci Ramadan itu tidak lain hanya bermotif menyebarkan kebencian dan hasutan ganas,” katanya di sini tadi.
Lantaran itu, Wisma Putra berkata, Malaysia menyeru kerajaan Denmark untuk segera mengambil tindakan tegas ke atas pelaku tersebut dan tidak mengistilahkan perkara keji itu sebagai kebebasan bersuara.
“Pada masa sama, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa mengerah usaha dalam memastikan sebarang kitab suci agam dihormati sepenuhnya dan dilindungi dengan baik.
“Semua negara perlu aktif memerangi gejala Islamofobia dan menggalakkan hubungan harmoni dalam kalangan individu berbilang agama dan anutan.
“Langkah berkenaan akan mempromosikan lagi semangat hidup bersama secara aman selaras dengan asas-asas sejagat Hak Asasi Manusia di seluruh dunia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE