KUALA PILAH – Seorang lelaki yang merupakan usahawan tani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, di sini, hari ini atas tuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen bernilai ratusan ribu ringgit di daerah Jempol kepada pembalak lebih dua tahun lalu.
Tertuduh, Hoe Kian Lim, 52, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, antara 16 September 2020 hingga 18 April 2021 di Ladang Geddes, Jempol telah menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki warga emas dengan jumlah RM474,000.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RN250,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muhammad Amirul dalam hujahannya tidak menawarkan sebarang wang jaminan dan sekiranya mahkamah membenarkan, pihak pendakwaan memohon satu jumlah yang tinggi, selain syarat tambahan.
Menurutnya, ini berikutan siasatan awal melibatkan pemberian pinjaman wang bernilai kira-kira RM474,000 dan tertuduh bersama dua lelaki lain datang ke rumah peminjam pada hari perayaan tahun baharu Cina yang lalu untuk membuat kacau ganggu, jika peminjam tidak membuat pembayaran.
Tertuduh pula dalam rayuannya menyatakan ingin menyelesaikan kes itu dengan sempurna, selain meminta jaminan memandangkan mempunyai dua anak yang masih bersekolah.
Norma kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi atau mangsa dan sekiranya perkara itu berlaku, jaminan akan ditarik balik
Norma menetapkan 3 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Difahamkan tertuduh membuat pembayaran wang jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE