PETALING JAYA – “Aurora tidur atas lantai depan pintu tandas, berlapik sejadah.”
Itu pendedahan terbaharu pelakon Diana Danielle berhubung kenyataan suaminya, Farid Kamil yang mendakwa, mengapa isu remeh memetik cili padi dibawa hingga ke mahkamah.
Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson turut menceritakan, Farid sudah berubah sikap menjadi seorang lelaki yang panas baran sehingga anak menjadi mangsa ketidakstabilan emosinya.
“Dia nak tekankan kata insiden marah anak itu kecil saja. Saya nak tekankan di sini, dia dah mula tengking-tengking baran dengan anak dari malam sebelumnya.
“Semuanya hal yang sangat remeh. Sampai ke esok pagi, dia masih menengking anak-anak atas sebab-sebab remeh. Sampai ke tengahari dia tengking saya sebab tak jumpa seluar dia.
“Petang, dia tengking Aurora insiden Aurora petik cili. Dua hari dia tak berhenti baran dan jerit sekuat hati. Aurora menggigil minta tolong saya, sebab dia sangat takut. Dia dipaksa untuk duduk di dalam bilik babah malam itu sebab dia nak sambung ‘ajar’ anak,” kata Diana, 32.
Jelas pelakon filem Imaginur itu lagi, usaha untuk melindungi anaknya dihalang suaminya itu apabila ditolak berkali-kali.
Diana juga memaklumkan, Farid mengugut untuk memukul anak perempuannya itu keesokan harinya sekiranya Diana menghalang untuk dia menghukum Aurora.
“Sebelum saya keluar dari bilik, dia ugut lagi akan pukul anak esok sebabkan saya tak bagi anak tidur atas lantai depan tandas.
“Emosi dia memang tak stabil waktu itu. Saya tak pernah tengok dia begitu dan apa yang terjadi membuatkan ketakutan bahawa sesuatu akan berlaku.
“Bilik itu pun tak sesuai anak masuk. Farid sendiri tahu bilik itu tak sepatutnya ada anak. Jadi, memang tak sesuai nak suruh anak tidur dalam bilik itu, apa lagi atas lantai,” getus Diana.
Jelas Diana lagi, tindakan anak perempuannya memetik cili tiada niat mencuri sebab masih berstatus kanak-kanak.
Bukan itu sahaja, tambah pelantun lagu Tentang Kita itu lagi, kejadian tersebut berlaku selepas dua hari dia minta diceraikan.
“Aurora tak sengaja. Didik anak jangan sampai dera emosi. Itu kali pertama dan dia tak tahu petik cili dianggap mencuri, bukan dia niat mencuri. Dengan keadaan dia yang tak boleh kawal emosi, saya terpaksa telefon polis untuk keluar dari rumah sebab tak tahu apa lagi yang akan berlaku esoknya.
“Dia dah ugut nak sambung hukuman dan pukul Aurora. Cukup! Kalau dah dua hari itu pun tak berhenti baran tanpa sebab.
“Saya tahu dia tertekan bila saya minta cerai dua hari sebelum itu. But leave the kids alone! (tolong jangan libatkan anak-anak)
“Kalau sayang betul pada anak, kenapa nak buang bin dan binti anak? Kenapa suruh saya failkan permohonan buang nama dia dari surat beranak anak? Kenapa ugut kami begitu?” soal Diana lagi menerusi satu coretan panjang lebar dalam Instagram. – KOSMO! ONLINE