PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia terus menerima keyakinan baru daripada pelabur luar untuk melaksanakan urusan perniagaan di negara ini apabila landskap politik berada pada keadaan stabil.
Perdana Menteri berkata, keyakinan itu akan terus meningkat apabila kemudahan berniaga sentiasa jelas selain ada ketetapan tepat behubung kaedah baharu yang lebih cekap serta bersih.
“Pagi semalam saya baru pulang dari China, Alhamdulillah satu kejayaan buat negara. Ini kerana, pasukan rakan-rakan menteri yang bertungkus-lumus sebelumnya dengan pegawai-pegawai dan seluruh jabatan terlibat.
“Ia memberikan keyakinan baru apabila politik kita stabil, ia memberi keyakinan baru bila kemudahan berniaga itu jelas selain tambah keyakinan pelabur selepas kita berikan ketetapan jelas bahawa harus ada kaedah baru yang cekap serta bersih,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bulanan Bersama Jabatan Perdana Menteri di sini tadi.
Lantaran itu, Anwar turut meminta kerjasama daripada penjawat awam untuk menunjukkan imej baik dan membanteras budaya rasuah kerana perkara itu membolehkan setiap urusan dijalankan kerajaan menjadi mudah.
Keadaan itu berikutan, Anwar mengakui masih ada pihak yang meminta komisyen ketika berurusan dengan kerajaan termasuk di Pejabat Perdana Menteri.
“Kita tidak boleh nafikan masih ada. Saya pun dengar kadang- kadang dia kata orang minta komisyen dari pejabat saya, pejabat menteri dan pegawai.
“Untuk membersihkan budaya lama itu memerlukan masa. Jadi saya minta kerjasama saudara saudari, kerana apabila imej itu baik ia (menjadi) mudah sekali,” katanya. -KOSMO! ONLINE