fbpx

Gadis Kampus: Cinta Nur Shahirah pada gambus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR SHAHIRAH mula bermain alat muzik tradisional sejak di bangku sekolah.

BERBICARA tentang muzik, ia menjadi satu seni yang diminati ramai.

Seiring berjalannya waktu, ramai antara kita kini lebih gemar mendengar muzik moden sebagai penyedap halwa telinga.

Peralihan ke muzik moden juga telah menyaksikan muzik tradisional seakan dilupakan pada masa kini, walaupun ia pernah menjadi dendangan pada satu masa dahulu.

Malah, tidak ramai generasi muda pada hari ini yang ingin melestarikan muzik tradisional sehingga menyebabkannya kian pupus ditelan zaman.

Berbeza pula kisahnya dengan Siti Nur Shahirah Hussin yang mempunyai jiwa dan cinta terhadap muzik tradisional.

Menurut gadis berusia 26 tahun itu, minatnya terhadap muzik tradisional telah dipupuk sejak di bangku persekolahan lagi.

“Saya mula mempelajari alat-alat muzik tradisional seperti sapelel, gamelan, caklempong serta alat muzik moden iaitu gitar dan drum sejak sekolah menengah lagi.

“Pada masa itu, saya sudah membuat persembahan dan memasuki pelbagai pertandingan muzik dengan mewakili sekolah,” katanya yang mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras, Cheras Kuala Lumpur.

Setelah tamat sekolah, gadis yang mesra disapa Nur Shahirah itu memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kini, dia sedang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di UiTM Shah Alam, Selangor dalam bidang sama.

“Sebelum ini saya pernah mempunyai cita-cita menjadi doktor haiwan ketika di bangku sekolah.

“Namun, niat itu harus dilupakan setelah nama saya terpilih menyambungkan pelajaran peringkat diploma dalam bidang muzik,” jelasnya.

Tambahnya, pada ketika itu, dia mula sedar bahawa minatnya lebih cenderung pada muzik.

NUR SHAHIRAH ceria bermain gambus.

Pada masa sama, Nur Shahirah berasa sangat tertarik dan kagum dengan alat muzik tradisional yang terdapat di negara ini.

Jika diberikan peluang dan rezeki, dia berhasrat untuk menyambung pelajaran sehingga peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang sama.

Sewaktu menyambung pengajian dalam bidang muzik, Nur Shahirah memilih gambus sebagai major instrumen.

“Lagu pertama yang saya belajar dengan gambus adalah Masri Kerincing.

“Selepas saya berjaya memainkan lagu tersebut, pensyarah mula mempelbagaikan melodi menggunakan pelbagai teknik permainan gambus.

“Ketika saya melihat petikan gambus yang ditunjukkan oleh pensyarah, saya terus rasa tertarik untuk mendalami alat muzik ini,” katanya.

Buat masa ini, dia terus berusaha memperbaiki kemahiran bermain gambus dengan lebih baik.

NUR SHAHIRAH bermain gambus sewaktu membuat persembahan muzik tradisional di UiTM.

Ia bagi memastikan apabila melakukan persembahan, penonton yang mendengar alunan bunyi gambus akan tertarik untuk mengenali alat muzik berkenaan.

Selain itu, dia berhasrat untuk membantu menonjolkan gambus kepada masyarakat terutamanya generasi muda di negara ini.

Dia juga ingin membuktikan bahawa gambus dan alat muzik tradisional lain memiliki taraf yang sama dengan alat muzik moden.

Nur Shahirah juga kini sedang menyiapkan kajian dengan bantuan pengamal dan pembuat gambus di Malaysia mengenai cara-cara penjagaan alat muzik tersebut.

Dalam pada itu, mengulas tentang dakwaan bahawa bidang muzik tiada masa depan, dia berkata, ia merupakan perkara yang kita tidak boleh jangka kerana masih belum berlaku lagi.

“Masa depan seseorang individu bergantung pada usaha yang mereka lakukan sekarang.

“Pada masa ini, kita boleh lihat betapa pentingnya muzik dalam pelbagai majlis untuk memeriahkan lagi suasana,” terangnya.

Tambahnya, sebagai generasi muda, dia tidak akan berputus asa untuk menyambung usaha golongan terdahulu terutamanya bagi melestarikan lagu dan alat muzik tradisional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI