JAKARTA – Seorang wanita, Suharni menjadi popular di media sosial selepas video dia menangkap ular sawa sepanjang 3 meter di Kota Semarang, wilayah Jawa Tengah, menjadi tular di media sosial, lapor portal berita Kompas.com hari ini.
Dia yang berusia 48 tahun dan tinggal di Perumahan Bringin Lestari, Mukim Ngaliyan mengaku aksinya menangkap reptilia itu sempat dirakam oleh penduduk setempat.
“Saya tidak menyangka ia menjadi tular. Saya juga tidak tahu kalau (aksinya menangkap ular) telah dirakam,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya kelmarin.
Suharni memberitahu, kejayaan menangkap ular itu berlaku pada 21 Mac lalu sekitar pukul 7.44 pagi (waktu tempatan) ketika dia hendak membeli sayur, namun tiba-tiba dipanggil oleh seorang penduduk untuk menangkap haiwan tersebut.
Wanita itu pergi ke lokasi kejadian dan melihat ular tersebut sedang melilit seekor kucing, menyebabkan dia segera menangkap ular tersebut dengan menarik ekornya dari sebuah parit.
“Dulu, (saya) pernah menangkap ular di lokasi yang sama. Tetapi tidak berjaya kerana (ular itu) berat. Panjangnya juga sekitar 3 meter,” ujarnya.
Setelah beberapa saat, Suharni berhasil menangkap ular tersebut sebelum dia dibantu oleh beberapa orang lagi penduduk kampung. – Agensi