CARDIFF, Wales – Seorang ibu di Wales Selatan, Melissa Sloan mahu bola matanya ditatu walaupun terdapat amaran tentang kemungkinan dia menjadi buta jika menjalani prosedur itu, lapor portal berita Daily Statr semalam.
Sloan, 46, menghabiskan lebih separuh hidupnya untuk mendapatkan tatu pada seluruh badannya dan dalam tempoh 10 tahun lalu, ibu kepada dua anak itu mempunyai tiga lapisan tatu di mukanya.
Sebab utama dia mahu bola matanya ditatu adalah kerana takut akan kehabisan ruang pada tubuhnya.
“Saya pilih soket mata (bola mata). Itulah yang saya lihat pada masa depan untuk saya sekarang,” katanya secara eksklusif kepada Daily Star.
Bagaimanapun, dia menerima kritikan netizen berhubung hasrat tersebut.
Sebilangan netizen memberi amaran kepada Sloan tentang kesan buruk akibat mempunyai bola mata yang ditatu.
Dikenali sebagai tatu sclera, prosedur itu boleh menyebabkan buta dan jangkitan dalam darah namun ia tidak menakutkan Sloan, malah dia sanggup mempertaruhkan nasibnya bagi mendapatkan tatu tersebut. – Agensi