KOTA BHARU – Gara-gara terlupa menutup api dapur gas selepas menggoreng ayam, seorang warga emas mengalami kerugian kira-kira RM180,000 apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Teras, Binjai di sini semalam.
Kejadian disedari oleh Eshah Omar, 73, kira-kira pukul 3 petang apabila dia sampai di rumah dari sebuah kedai runcit yang berhampiran.
Menurut anak bongsu Eshah, Mohd. Saipullah Husain, 33, selepas itu, ibunya naik ke atas rumah sebelum melihat kepulan asap dari ruang dapur rumah.
Menurutnya, menyedari kejadian itu, ibunya sempat berlari ke dapur untuk menutup api dapur dan mengangkat kuali yang mengandungi minyak untuk dibuang.
“Difahamkan, minyak masak itu menitik di atas tikar getah sebelum ia membakar ruang dapur rumah dan merebak ke keseluruhan rumah peninggalan arwah bapa saya.
“Mujur ibu sempat menyelamatkan diri apabila keluar dari rumah. Saya dan ibu kini tinggal sehelai sepinggang apabila tidak sempat menyelamatkan pakaian dan barangan lain. Paling sedih, ibu baru beli sofa baharu sempena hari raya Aidilfitri beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Mohd. Saipullah, dia tiada di rumah atas urusan kerja ketika kejadian sebelum singgah di rumah abang, Mohd. Nasir, 42, di Kubang Kerian di sini semasa pulang.
Katanya, ibu hanya sempat menyelamatkan barangan kemas dan wang zakat sebanyak RM2,000 yang akan diagihkan oleh salah seorang abang kepada golongan asnaf.
“Wang zakat itu dibungkus di dalam kain. Ibu sempat mengambilnya bersama beberapa barangan kemas sebelum melarikan diri keluar dari rumah.
“Kami sekeluarga mengalami kerugian kira-kira RM180,000 apabila keseluruhan bahagian rumah dan barangan berharga hangus terbakar,” katanya. – KOSMO! ONLINE