fbpx

Isu pembuli, Nelydia salur semangat buat Uqasha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENYIFATKAN kakaknya seorang yang baik dan berhati lembut, Nelydia berjanji untuk sentiasa berada di sisi Uqasha tatkala dia sedang berdepan dakwaan menjadi pembuli ketika ini.

KUALA LUMPUR – Pelakon jelita Nelydia Senrose meluahkan rasa sedih atas kejadian yang menimpa kakaknya, Uqasha Senrose apabila dituduh sebagai pembuli oleh seorang individu yang dipercayai merupakan rakan sekolahnya.

Sebagai orang yang paling rapat dengan Uqasha, pemilik nama lengkap Nik Zaris Nelydia Nik Sen itu hanya mampu meminjamkan semangat dan berada di samping kakaknya itu untuk terus kuat menghadapi ujian.

“Saya sangat sedih dan terkesan juga dengan tuduhan Uqasha sebagai pembuli itu. Kami pula terlalu rapat, tinggal tidak jadi kembar sahaja. Dari kecil apa yang orang kata kepadanya, saya akan terasa.

“Apa yang saya boleh buat adalah dengan meminjamkan semangat dan cuba yang terbaik ada dengan dia sebanyak mungkin,” katanya kepada Kosmo! Online usai majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini baru-baru ini.

Tambah Nelydia, 29, dia sangat mengenali kakaknya dan tahu keadaan Uqasha ketika berada di bangku sekolah yang mana tidak mempunyai ramai kawan meskipun namanya sering menjadi sebutan.

“Saya kenal Uqasha bukan sebab dia kakak saya tetapi dia sendiri memang orang baik dan seorang yang sangat lembut hati.

“Seingat saya, Uqasha memang tidak gemar pergi ke sekolah kerana tidak ramai kawan walaupun namanya menjadi sebutan.

“Malah, saya selalu nampak dia makan dan balik sekolah seorang diri. Mungkin ini drama sekolah menengah. Kadang-kadang orang tidak suka kita walaupun kita tidak berbuat apa-apa,” jelasnya.

Bagaimanapun, sebagai adik, Nelydia tidak percaya kakaknya seorang pembuli dan yakin Uqasha akan bertanggungjawab sekiranya dia benar-benar membuli rakan sekolahnya.

“Saya percaya kalau Uqasha pembuli pun yang mana saya sendiri tahu dia tidak buat, saya tidak fikir dia ada masalah untuk tampil memohon maaf.

“Hati dia lembut. Dia sampaikan tanya kepada saya, bimbang dia lupa jika betul dirinya seorang pembuli.

“Kalau ada bukti kukuh dan ada orang lain yang tampil mendedahkan dia juga mangsa buli Uqasha, kami akan tengok apa yang boleh buat seterusnya,” ujar aktres itu.

Sebelum ini, nama Uqasha memanas dalam Twitter selepas dikaitkan dengan kes buli yang didakwa kononnya berlaku di sebuah sekolah pada 15 tahun lalu.

Tidak mahu merunsingkan keadaan, pelakon itu membuat laporan polis berhubung dakwaan berbaur fitnah oleh seorang wanita yang mengaku kononnya menjadi mangsa buli sejak zaman sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI