fbpx

128 saman penunggang motosikal kurang tiga jam operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JPJ Pulau Pinang memeriksa 367 motosikal dalam tempoh kurang tiga jam sepanjang Ops Bersepadu Luaran kelmarin.

SEBERANG PERAI – Sebanyak 128 notis saman dan teknikal dikeluarkan terhadap 119 penunggang motosikal dalam Ops Bersepadu Luaran oleh Unit Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang kelmarin.

Jumlah tersebut adalah daripada 367 penunggang yang diperiksa di lorong motosikal plaza tol Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) antara pukul 11.45 malam hingga 2.30 pagi .

Operasi penguatkuasaan khas itu turut disertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dengan kekuatan keseluruhan anggota seramai 21 orang.

Menurut kenyataan JPJ Pulau Pinang, operasi motosikal yang diadakan itu bertujuan memastikan penunggang serta pembonceng motosikal mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan ketika ini.

Pada masa sama katanya, mereka juga perlu memastikan tiada sebarang pengubahsuaian dibuat terhadap motosikal masing-masing untuk tujuan lumba haram, uji kelajuan atau rempit.

“Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi itu termasuklah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

“Kesalahan lain adalah mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan ekstrem, tiada cermin sisi selain mengubah suai motosikal tanpa kebenaran,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu jelasnya, pengguna dinasihatkan agar mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada serta memandu dengan cermat dan berhemah bagi mengurangkan kadar kemalangan di Jalan raya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI