PUTRAJAYA – Kes jangkitan Covid-19 hari ini melaporkan 801 kes termasuk daripada empat kluster baharu menjadikan jumlah kes positif sebanyak 29,441 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 799 adalah kes baharu membabitkan penularan tempatan manakala dua kes import dari Iran dan Arab Saudi.
“Sabah masih mencatatkan kes harian tertinggi dengan 546 termasuk dari kluster baharu iaitu Kluster Seri Gaya melibatkan Kota Kinabalu dan Tuaran dengan 11 kes baharu hari ini.
“Kluster lain ialah Kluster Greenhill di Sarawak (25 kes), Kluster Idaman di Selangor (11 kes) dan Kluster Bayu di Johor (lapan),” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan hari ini.
Noor Hisham berkata, lapan lagi kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak 246.
Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 573 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 19,072 setakat hari ini. -K! ONLINE