IPOH – Peruntukan sebanyak RM2.7 juta akan dipohon daripada kerajaan negeri Perak bagi membantu kira-kira 815 usahawan mikro bumiputera di negeri ini yang perniagaan mereka terkesan akibat pandemik Covid-19 layak untuk menerima bantuan menerusi Geran Prihatin Usahawan Perak (GeRUP).
Kerajaan negeri sebelum ini telah pun meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta bagi membantu 300 usahawan mikro bumiputera untuk menerima geran berjumlah RM3,000 yang akan dibayar mulai bulan hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya berharap permohonan dana berkenaan diberi pertimbangan demi membantu usahawan.
Menurut beliau, bagi melaksanakan Geran GeRUP ini, kerajaan negeri telah bekerjasama dan memperuntukkan dana tersebut kepada SME Corp Malaysia melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Kedua 2020.
“Permohonan GeRUP yang dibuka mulai 16 sehingga 30 Julai lalu telah menerima 4,653 permohonan dan disaring oleh 24 agensi pembimbing yang dilantik serta disemak secara silang oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi mengelakkan permohonan bertindan dengan Geran Khas Prihatin.
“Daripada jumlah tersebut seramai 1,115 pemohon layak, bagaimana pun cuma 300 boleh dibantu. Justeru, pihak Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (PUNP) akan mengemukakan permohonan dana ehsan daripada kerajaan negeri,” ujarnya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Halizah Sipun dan Pengarah Sekretariat PUNP, Mohd. Razlan Mohd. Razali.
Geran RM3,000 berbentuk ‘one off’ ini bagi membantu golongan berkenaan yang terdiri daripada usahawan industri kecil dan sederhana untuk meneruskan perniagaan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Antara perniagaan yang telah diluluskan adalah daripada sektor pembuatan produk makanan, perniagaan borong dan runcit, kedai makan, bengkel dan lain-lain.
Jelas Saarani, usahawan yang akan menerima bantuan ini kemudiannya akan dipantau dan dibimbing oleh agensi-agensi berkaitan pembangunan keusahawanan bagi memastikan pembangunan kapasiti yang berterusan.
“Kita memperuntukkan sebanyak RM100,000 daripada geran ini untuk melaksanakan kursus bimbingan berkaitan pemasaran dan pengurusan akaun menerusi kerjasama dengan agensi-agensi terlibat. -K! ONLINE