LONDON – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag menafikan pasukannya terlalu bergantung kepada kualiti Marcus Rashford sebaliknya bertegas beliau masih memiliki pemain lain yang mampu galas tugas sebagai peledak utama.
Ketika ini, Rashford menjaringkan 27 daripada 88 gol yang dijaringkan United dalam semua pertandingan musim ini, diikuti Bruno Fernandes di tempat kedua dengan hanya 10 gol.
Anthony Martial pula jarang mendapat peluang ekoran masalah kecederaan, manakala Wout Weghorst seakan belum lagi mencapai kualiti sebenar sejak di Old Trafford, Januari lalu.
Bagaimanapun, selepas berjaya menamatkan kemarau kejuaraan dengan menewaskan Newcastle United pada Piala Liga Inggeris, Februari lalu, Ten Hag menjelaskan, beliau memiliki ramai pemain untuk menyokong kualiti Rashford pada aksi dengan lawan sama di tempat lawan, malam ini.
“Saya fikir kami masih ada pemain seperti Bruno, Jadon Sancho, Anthony Martial, Antony dan juga Scott McTominay. Kami ada pemain yang cukup dan mereka memiliki kemampuan untuk menjaringkan gol.
“Sekarang saya sedang bekerja untuk musim ini jadi perkara pertama adalah untuk pastikan setiap orang cergas dan kekalkan peningkatan kerana dengan cara itulah yang mampu cipta peluang lebih baik untuk jaringkan lebih banyak gol,” katanya.
Ketika ini, McTominay sedang menikmati prestasi dengan meledak empat gol ketika bantu Scotland menewaskan Cyprus 3-0 dan atasi Sepanyol 2-0, sekali gus buka peluang buatnya berada dalam kesebelasan utama Red Devils.
Bagaimanapun, Ten Hag merasakan McTominay lebih baik bermain di posisi tengah dan tampil mempertahankan impak keseluruhan yang sudah pun dijelmakan Weghorst.
“Scott boleh bermain di banyak posisi. Sudah jelas keupayaannya menjaringkan gol untuk Scotland, dia ada kualiti penyudah yang cukup baik namun saya lebih melihatnya sebagai pemain tengah,” Ten Hag. – AGENSI