LOS ANGELES – Selebriti media sosial, Kim Kardashian menerima kecaman netizen apabila menyewa jet peribadi untuk menerbangkan rakan dan ahli keluarga ke pulau persendirian untuk sambutan hari lahirnya yang ke-40, hujung minggu lalu.
Kim dan sekumpulan rakan baik menghabiskan cuti hujung minggu dengan berkayak, berparti dan berenang bersama paus di pulau persendirian di mana mereka boleh berpura-pura keadaan dunia adalah normal seperti dulu, tulis wanita itu di Twitter.
Percutian itu turut dihadiri oleh adik-beradik Kim seperti Khloe, Kourtney dan adik tiri, Kendall Jenner di Tahiti, 6,400 kilometer (km) dari Los Angeles.
Mereka semua menaiki pesawat Boeing 777 ke sana, menurut laporan E! dan TMZ.
Suami Kim, Kanye West yang juga rapper tersohor dipercayai menyertai keraian itu sedikit lewat.
“Sebelum wabak Covid-19 melanda, kita tidak pernah menghargai kemewahan seperti bercuti dan meluangkan masa bersama keluarga dalam persekitaran yang selamat,” kata Kim.
Tindakan Kim mendapat kritikan daripada netizen yang menuduh dia mementingkan diri apabila bercuti tatkala seluruh dunia berdepan situasi pandemik maut dan semua penerbangan keluar negara adalah diharamkan.
“Bagus, orang di sini terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada yang tersayang saat mereka meninggal dunia seorang diri di hospital dan anda pula sibuk menayangkan kegembiraan pada mereka yang sedang menderita,” kata seorang pengguna Twitter.
Kim dalam satu kenyataan menegaskan semua tetamu yang hadir di parti hari lahirnya sudah menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu dan menjalani beberapa peringkat pemeriksaan kesihatan.
Terdahulu, aktres dan heroin filem Wonder Woman, Gal Gadot turut menerima kecaman apabila memuat naik video keluarganya menyanyikan lagu ‘Imagine’ nyanyian John Lennon dari kediaman mewah di Los Angeles yang dikatakan tidak menghormati perasaan orang kurang berkemampuan. – AFP