fbpx

Buaya tembaga makin kerap muncul di Sungai Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman video yang didakwa memperlihatkan seekor buaya di Sungai Melaka

MELAKA – Kelibat Sang Bedal sepanjang dua meter didakwa semakin kerap muncul di pesisir Sungai Melaka, malah beberapa rakaman klip video dan gambar buaya itu berjemur di dahan pokok bakau turut tular di laman sosial.

Terbaharu, kejadian itu turut disaksikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong, yang mendakwa melihat haiwan reptilia itu di pesisir berhampiran sebuah hotel terkemuka negeri ini, minggu lalu.

“Sebelum ini saya ada menerima aduan orang ramai mengenai kelibat haiwan pemangsa itu dilihat semakin kerap muncul di pesisir Sungai Melaka dan situasi itu menimbulkan kebimbangan.

“Jadi saya sendiri telah tinjau kawasan itu dan nampak buaya tersebut di pesisiran sungai berhampiran sebuah hotel, buaya ini dikatakan muncul pada waktu panas sekitar pukul 2 sehingga 4 petang,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Kali terakhir buaya jenis tembaga itu dikatakan muncul pada sembilan bulan lalu, namun saiznya dikatakan lebih kecil berbanding yang ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, Chee Leong, pihaknya telah meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menjalankan segera operasi penangkapan buaya tersebut.

“Saya juga minta pihak terlibat untuk memasang papan tanda mengingatkan orang ramai yang bersiar-siar di pesisir Sungai Melaka supaya berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, usaha menangkap buaya tersebut telah dilaksanakan sejak tahun lalu sejurus menerima aduan daripada orang ramai.

“Kita telah memasang perangkap, namun ia tidak berhasil dan usaha menjejaki buaya itu masih giat dilaksanakan.

“Selain itu Perhilitan juga telah bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka untuk mengesan pergerakan buaya tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI