JOHOR BAHRU – Sebanyak 2,000 pek bubur lambuk disiapkan sebelum diagihkan kepada orang ramai sempena Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Peringkat Negeri Johor.
Program yang diadakan di Masjid Ubudiyah Kampung Bendahara melibatkan seramai 50 petugas diketuai Chef Adnan Busu itu turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Noh Ibrahim.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bendahara Karim Wagiman berkata, program tersebut merupakan kali pertama diadakan bagi peringkat negeri.
“Sebelum ini pihak masjid memang setiap tahun membuat bubur lambuk tapi tidaklah sebanyak ini. Terima kasih kepada para petugas yang membantu menjayakan program ini dari awal pagi hingga siap dimasak,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurutnya, lima periuk disediakan bagi memasak bubur lambak bermula pukul 8 hingga 11 pagi dan pihak masjid berkolaberasi bersama Politeknik Metro Johor Bahru serta rakan strategik dari AADK, KKM dan Balai Polis Kampung Melayu Majidee. – KOSMO! ONLINE