fbpx

Ramainya bercerai, lagi susah jika ada anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERCERAIAN melibatkan golongan selebriti tidak dapat lari daripada sensasi. Selepas cerai, biasanya akan muncul pula isu berbangkit, soal nafkah dan anak.

SEJAK akhir-akhir ini, dunia hiburan tanah air acapkali dikejutkan dengan kisah perceraian pasangan selebriti.

Sebenarnya sudah sekian lama isu perceraian dan selebriri menjadi sensasi berpanjangan, namun kehangatan perkara paling dibenci di sisi agama itu seperti menjadi-jadi, seolah-olah saling ‘pass baton’, berjangkit-jangkit daripada sepasang ke sepasang selebriti lain.

Dimulai dengan krisis rumah tangga Syamsul Yusof dan Puteri Sarah, ke ‘drama’ mahkamah Farid Kami dan Diana Danielle hinggalah tuduhan ‘memancut-mancut’ dilemparkan antara Afiq Muiz dan Panchara.

Turut mencuri tumpuan, kisah ‘mahkamah’ melibatkan figura popular iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang terheret sama ke mahkamah.

Sewaktu membuat liputan kes mahkamah Farid-Diana di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya, ingatkan sudah sampai di situ sahaja, namun selepas itu bertubi-tubi cerita cerai orang popular ‘dilondehkan’ kepada umum.

BELUM lagi bercerai, isu anak nampaknya sudah berlingkar dalam proses perceraian Farid dan Diana.

Berdasarkan pemerhatian, perceraian bukan satu proses yang mudah. Bukan sekadar melafazkan atau meminta untuk diceraikan, perkara terbabit memakan banyak masa dan tenaga banyak pihak terlibat.

Farid kata ini, Diana kata itu dan akhirnya, semuanya masih tergantung dan membuatkan netizen terus meletakkan telahan sendiri.

Ungkapan pendek Diana yang berbunyi ‘Aurora trauma’ juga mengusutkan suasana apabila Farid dikatakan sudah hampir sebulan dihalang bertemu dua anak, Muhammad dan Nur Aurora.

Benar, kalau sudah dikurniakan cahaya mata, proses perceraian bertambah rumit berbanding hanya mengikat tali perkahwinan namun tidak ditemukan rezeki anak.

Perkara tersebut diakui pelakon dan model tinggi lampai, Alicia Amin yang bercerai dengan bekas suami selepas hanya sempat merasai nikmat rumah tangga selama dua tahun.

“Saya rasa setiap pasangan yang ingin bercerai atau dah bercerai, cerita mereka lebih kurang sama. Anak akan terperangkap di tengah-tengah tak tahu nak buat apa, mereka dalam keadaan keliru, mereka sendiri yang tertekan.

ALICIA agak lega apabila perceraiannya tidak membabitkan soal anak kerana belum dikurniakan zuriat.

“Macam saya, perceraian berlaku dengan mudah. Saya bincang dengan suami, perkahwinan dah tak boleh diselamatkan dan kami pun memilih untuk bercerai.

“Lagi susah nak bercerai kalau pasangan itu dah ada anak. Saya 100 peratus setuju. Ibu bapa saya dahulu pun bercerai selepas 25 tahun hidup bersama. Yang rasa ‘sakitnya’ anak-anak. Kita sahaja yang tahu,” katanya kepada Pose.

Lagi cerai, trauma

Beberapa hari lalu, masuk lagi satu kisah tentang Shuk Sahar dan Rossa Sera yang akhirnya bercerai talak satu pada 22 Mac lalu, namun demi anak-anak mereka harus kekal berhubungan baik.

“Tak bermakna dah tidak lagi tinggal sebumbung sebagai suami isteri, tanggungjawab sebagai ibu bapa pun ‘terbang’ sama,” katanya ketika dihubungi.

SHUK bersama dua orang anak hasil perkahwinan dengan Rossa.

Buat mereka yang telah melalui fasa sama (bercerai), bukan mudah untuk merelakan hati apatah lagi kalau rasa sayang dan cinta masih wujud dalam diri. Perkara tersebut dirasai penyanyi dan pelakon, Bella Astillah yang berjaya ‘menyelamatkan’ rumah tangga apabila rujuk semula dengan Aliff Aziz ketika masih dalam iddah.

“Dengar bermacam-macam cerita ramai selebriti turun keluar mahkamah membuatkan saya sebak dan pada masa sama, trauma.

BELLA Astillah mengakui agak trauma melihat banyaknya kes perceraian dalam kalangan artis pada masa ini,

“Saya dengan Aliff pun sekarang ini mencuba terbaik menjalani kehidupan sebagai suami isteri ‘sekali lagi’,” katanya.

Itulah lumrah dunia artis yang sering dikaitkan kalau berkahwin, tidak akan berkekalan lama. Bukan membuta tuli mengiyakan pernyataan terbabit, namun kalau dilihat daripada kaca mata kasar, memang itulah realitinya.

Apapun berlaku atas nama perceraian, pasti ada hikmah yang berselindung. Janganlah dibuka aib apabila tidak lagi bersama. Ramai suka dengan pendekatan dipraktikkan Mizz Nina bercerai dengan Noh Hujan tanpa banyak ‘bunyi’ atau drama.

MIZZ NINA menjadi contoh selebriti yang tidak ‘banyak bunyi’ tentang punca perceraian dengan Noh Salleh.

Bercerai barangkali satu terma yang mudah untuk diungkapkan di bibir, namun mereka yang menghadapinya sahaja tahu dan mengerti sakit dan getirnya. Usah ditambah pedih atau luka dengan menceritakan perihal tidak sepatutnya apabila tidak lagi bersama sebagai suami isteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI