TEMERLOH – Kejadian pencemaran makanan dijual di bazar Ramadan bagaikan tidak berkesudahan apabila seorang lagi pengguna menjadi mangsa selepas kejadian seorang pengguna di Kuantan membeli karipap yang sudah berkulat.
Kejadian di Temerloh kali ini begitu meloyakan apabila mangsa telah membeli roti sosej yang dipenuhi ulat malah terdapat ahli keluarga mangsa telah memakan sesej berkenaan.
Nor Suhaili Ismail,38, berkata, dia membeli lima ketul roti sosej goreng berkenaan yang berharga RM3 di sebuah gerai di Temerloh petang semalam sebagai juadah berbuka puasa.
“Masa berbuka puasa, suami dan seorang anak saya telah makan empat ketul roti berkenaan dan tinggal satu lagi roti sosej yang tidak dimakan kerana seorang lagi anak saya hanya mahu makan sosej.
“Apabila buka roti berkenaan saya amat terkejut sekali kerana nampak benda bergerak, Ya Allah yang bergerak itu ulat yang banyak,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian berkenaan berlaku pada dirinya kerana sebelum ini hanya mendengar berita kejadian pencemaran makanan yang dijual di bazar Ramadan.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya akan melakukan semakan mengenai kejadian terbaharu itu.-KOSMO! ONLINE