KUALA LANGAT – Pihak berkuasa akan melakukan proses penggeledahan pintu ke pintu esok dalam mengesan kira-kira 200 penduduk yang belum melakukan ujian saringan Covid-19 di Flat Sungai Emas dan perumahan teres Jalan Emas 31 dan 31 di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara bersasar (Temco).
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Kuala Langat, Mohd. Jusni Hashim berkata, langkah itu bertujuan dalam mengekang penularan Covid-19 di kawasan tersebut yang merupakan kluster Bah Manggis.
Katanya, terdapat 1,300 penduduk di kedua-dua kawasan tersebut.
“Sebanyak sembilan pasukan akan terlibat dalam proses penggeledahan dengan menjangkakan proses saringan terhadap 200 individu tersebut dapat diselesaikan esok.
“Jumlah keluasan Temco ini adalah 5.9 hektar dengan perimeter 1075.34 meter dan 83 peratus daripada penduduk di sini adalah penduduk yang berasal dari Sabah,” katanya pada sidang akhbar di Temco berkenaan hari ini.
Menurut beliau yang merupakan Pegawai Daerah Kuala Langat, bagi kawasan Flat Sungai Emas mendapati 938 individu telah mengetahui keputusannya daripada 991 penduduk yang telah melakukan saringan Covid-19 itu.
Ujar Mohd. Jusni, daripada 63 kes kluster Bah Manggis di Kuala Langat mendapati 42 daripadanya dikesan di Flat Sungai Emas dan baki 21 kes di lokaliti lain.
“Selain itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat telah mengambil tindakan awal bermula 18 Oktober lalu dengan melakukan saringan terhadap 1923 orang kontak yang telah dikenalpasti daripada kluster ini dengan 1,833 daripadanya telah mengetahui keputusannya.
“PKD Kuala Langat juga telah melakukan saringan terhadap 1,000 pelajar daripada 10 buah sekolah dan dua buah pra sekolah berdekatan dengan kluster Bah Manggis dengan dua kes positif dikesan melibatkan mereka berusia 11 dan 16 tahun,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri akan menyediakan bank makanan dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat menawarkan perkhidmatan pembelian secara online dan penghantaran terus kepada penduduk.
“Kedai bergerak juga akan dibuka oleh PPK Kuala Langat di kawasan Temco ini,” katanya. -K!ONLINE